NGO, syarikat berkait pemimpin parti tumpuan siasatan kes dana Mitra


Kalidevi Mogan Kumarappa

Dana jutaan ringgit untuk Unit Transformasi Masyarakat India (Mitra) bertujuan bagi pelaksanaan program sosioekonomi masyarakat India di Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Oktober, 2021.

DANA jutaan ringgit yang lesap dari Unit Transformasi Masyarakat India (Mitra) disalur ke syarikat dan NGO berkait pemimpin kanan sebuah parti berasaskan kaum itu, kata sumber.

Sumber agensi antirasuah berkata, ia antara lain untuk kursus gubahan bunga, tuisyen untuk pelajar sekolah rendah, sijil asas untuk kelayakan pembantu perubatan dan kursus perkahwinan.

Ia antara program yang gagal dijalankan pengarah syarikat terbabit selepas mendapat geran daripada agensi bawah Kementerian Perpaduan Negara itu, katanya.

Beliau memberitahu The Malaysian Insight, agensi itu percaya semua semua program itu hanya alasan untuk mendapatkan geran yang masing-masing bernilai ratusan ribu.

“Mereka ini memohon peruntukan untuk mengadakan program membangunkan sosioekonomi kaum India dan melaporkan ia sudah dilaksanakan apabila dana itu diperoleh.

“Bagaimanapun, hasil siasatan mendapati banyak penyelewengan berlaku dan program itu tidak dijalankan seperti yang dilaporkan,” kata sumber.

Projek berkenaan didakwa tidak dijalankan berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di negara ini sejak tahun lalu, katanya.

“Dianggarkan puluhan juta dilesapkan. Syarikat dan NGO ini sepatutnya menggunakan geran peruntukan Mitra bagi melaksanakan program sosioekonomi masyarakat India di Malaysia.

“Siasatan kes ini akan merangkumi semua bentuk permohonan dan perbelanjaan peruntukan geran yang disalurkan oleh Mitra bermula 2018 hingga kini,” kata sumber.

Beliau juga berkata hanya 40% dari keseluruhan peruntukan geran dilaksana dengan berjaya manakala bakinya diseleweng pengarah syarikat dan NGO yang menjadi kroni pemimpin parti.

Seramai 17 orang ditahan setakat ini termasuk seorang wanita dan ada di antaranya mempunyai kaitan dengan bekas pemimpin parti dan juga saudara kepada pemimpin parti.

“Malah ada seorang itu ahli parti politik berasaskan kaum India di bahagian Selayang, Selangor.

“Selain 17 syarikat ini, kami juga akan meneliti lebih 200 syarikat atau entiti lain yang disyaki mempunyai kaitan dengan pemberian geran Mitra,” katanya.

Menurut sumber penerima geran terbesar bernilai RM9 juta turut akan dipanggil bagi memastikan geran itu dimanfaatkan sepenuhnya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki ketika dihubungi berkata siasatan akan diteruskan dengan maklumat baharu.

“Saya juga tidak menolak kemungkinan beberapa pihak lagi akan dipanggil.

“Bukan saja penerima tetapi mereka yang terlibat secara langsung untuk pemberian geran juga akan dipanggil bagi meneliti proses pemberian geran itu,” katanya.

Pengarah syarikat dan NGO itu ditahan dalam operasi besar-besaran bermula 25 Oktober di sekitar Lembah Kelang dan sudahpun ditahan reman.

Semua suspek berusia antara 24 hingga 68 tahun. – 29 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen