Puluhan juta dana Mitra lesap, 16 pengarah syarikat ditahan


Kalidevi Mogan Kumarappa

SERAMAI 16 pengarah syarikat ditahan dalam operasi besar-besaran semalam berhubung kes penyelewengan dana Unit Transformasi Masyarakat India (Mitra), kata agensi antirasuah.

Sumber berkata, kesemua suspek berusia 24 hingga 68 tahun ditahan di sekitar Lembah Kelang bermula petang semalam bagi kes penyelewengan puluhan juta ringgit itu.

Katanya, pengarah syarikat berkenaan didakwa memohon peruntukan daripada agensi bawah Kementerian Perpaduan Negara itu yang kemudian diselewengkan individu tertentu.

Dana Mitra itu didapati dipohon bagi melaksanakan program sosioekonomi masyarakat India di Malaysia, namun tiada program dijalankan dan tiada pernyataan perbelanjaan dikemukakan.

“Siasatan kes ini akan merangkumi semua bentuk permohonan dan perbelanjaan peruntukan geran yang telah disalurkan oleh Mitra bermula tahun 2018 hingga kini.

“Kami menganggarkan hampir 60% daripada peruntukan geran yang diterima oleh syarikat, orang perseorangan dan yayasan bagi tujuan perlaksanaan program pembangunan sosioekonomi tidak sampai kepada kumpulan sasaran yang sepatutnya,” katanya.

Beliau memberitahu The Malaysian Insight, kesemua 16 yang ditahan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi ini bagi proses permohonan reman.

Sementara itu Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki mengesahkan tangkapan tersebut.

Katanya, siasatan dibuat bawah seksyen 16 (a) dan seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Mitra distruktur semula pada tahun 2018 ketika pentadbiran Pakatan Harapan, yang meletakkan agensi itu bawah Jabatan Perdana Menteri.

Namun sejak April 2020, Mitra yang dianggarkan memperolehi dana RM100 juta setahun diletakkan bawah Kementerian Perpaduan Negara.  – 26 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen