Penduduk setuju bangun tanah Kampong Bharu ikut blok


Mohd Farhan Darwis

Menurut persatuan Pewaris, rancangan asal untuk membangunkan tanah di kawasan Kampong Bharu tidak diteruskan kerajaan Pakatan Harapan bahkan mahu membelinya daripada pemilik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Ogos, 2020.

PENDUDUK Kampong Bharu menyambut baik pembangunan tanah mengikut rancangan asal berdasarkan blok mengikut cadangan pembangunan asal di segi tiga emas Kuala Lumpur itu.

Menurut Pertubuhan Pemilik Tanah dan Waris Tanah Kampong Bharu (Pewaris), rancangan asal untuk membangunkan tanah tersebut bagaimanapun tidak diteruskan kerajaan Pakatan Harapan.

Setiausaha Pewaris Zainudin Ismail berkata Kementerian Wilayah Persekutan bawah Khalid Samad waktu itu sebaliknya mahu membeli tanah daripada penduduk.

“Ini yang kita nak daripada dahulu, kita kumpul empat, lima lot tanah, naikkan bangunan. Itu rancangan pembangunan asalnya.

“Kita ingat Khalid nak teruskan rancangan itu tapi rupa-rupanya beliau nak beli semua tanah, kelam kabut kita,” kata Zainudin kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata, segelintir penduduk yang membangunkan tanah mereka mengikut blok terpaksa menghentikan projek apabila PH mengemukakan cadangan pengambilalihan tanah itu.

Bagaimanapun beliau lega kerana projek tersebut dapat diteruskan semula bawah menteri baharu Perikatan Nasional Annuar Musa.

“Ada beberapa tuan tanah sebelum kedatangan Khalid yang dah majukan tanah masing-masing.

“Bila Khalid ambil alih, projek terhenti. Annuar Musa pula bawa cerita lama, jadi sekarang siapa ada projek tertangguh semasa zaman Khalid boleh teruskan semula,” katanya lagi.

Katanya, projek itu meliputi 108 blok tanah yang sebelum ini terletak di bawah pentadbiran Lembaga Pentadbiran Penempatan Pertanian Melayu (MAS) yang dibubar pada Jun lalu.

Lembaga berkenaan bagaimanapun berkeras bahawa pembubaran itu tidak mengikut perlembagaan.

Dengan itu, Pewaris akan meneruskan perancangan untuk menggunakan sistem wakaf membangunkan tanah Kampong Baru, kata Zainuddin.

“Projek pembangunan kita sama, wakaf itu hanya instrumennya,” katanya.

Untuk itu, persatuan katanya sedang menunggu kebenaran untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi mendapatkan perkenan meneruskan rancangan berkenaan.

Kampong Bharu, satu kawasan tanah utama di tengah Kuala Lumpur terus bergelut dengan isu pembangunan semula. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Ogos, 2020.

Pewaris bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Maiwp) untuk menggunakan dana wakaf agensi berkenaan bagi membangunkan tanah Kampong Baru.

Cadangan itu dicetuskan Pewaris bagi mengelak pemilik dan pewaris hilang hak ke atas tanah terbabit sekiranya projek pembangunan dilaksanakan di atas kawasan tersebut.

“Buat masa ini peringkat menteri belum maklum, tetapi Perbadanan Kampong Baru (PKB) amat berminat sebab mereka tak keluar duit.

“Sekarang kami tengah buat jelajah jerayawara bagi memberikan penerangan kepada penduduk,” katanya.

Zainudin berkata, pihaknya mengharapkan untuk bertemu Annuar selepas selesai persidangan Dewan Rakyat minggu ini.

Pentadbiran PH sebelum ini mahu membeli tanah penduduk pada kadar RM1,000 sekaki persegi, namun tidak mendapat persetujuan keseluruhan penduduk.

Cadangan pembangunan itu menawarkan harga RM850 secara tunai dan RM150 dalam bentuk saham syarikat bertujuan khas (SPV) kepada pemilik dan pewaris bagi tujuan pembangunan.

Ia adalah kadar tertinggi dinilai oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta dengan mengambil kira faktor mengekalkan syarat kepentingan pemilikan orang Melayu sahaja

Rancangan pembangunan itu hanya menerima persetujuan 61%, selain melibatkan kos anggaran pembelian tanah sehingga RM7.4 bilion di samping kos lain yang mencecah hampir RM10 bilion.

Pada masa sama kementerian mengumumkan usaha merangka pendekatan baharu melalui Pelan Induk Pembangunan Kampong Bharu 2040 untuk pembangunan tempoh 20 tahun akan datang.

Pembanguan awal yang dijalankan adalah menaik taraf infrastruktur jalan utama di kawasan itu.

Ia termasuk Jalan Raja Uda, Jalan Raja Muda Musa, Jalan Mahmud, cadangan pintasan Jalan Raja Alang ke Jalan Raja Uda dan penjajaran semula Jalan Datuk Abdul Malik.

Ia termasuk pembinaan susur keluar-masuk Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (Akleh) ke Jalan Hassan Salleh dan Jalan Sungai Baru serta akses dari Lebuhraya DUKE Fasa 2A. – 24 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen