Warga Kampong Bharu lega MAS dibubar tapi lembaga mahu lawan


Mohd Farhan Darwis

Isu Kampong Bharu terus hebat apabila Lembaga Pentadbir Penempatan Pertanian Melayu (MAS) mencabar keputusan melucutkan haknya selaku pentadbir tanah kawasan itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Jun, 2020.

LEMBAGA Pentadbir Penempatan Pertanian Melayu (MAS) berkeras pembubarannya dan penamatan kuasanya sebagai pentadbir tanah Kampong Bharu tidak dibuat mengikut undang-undang.

Setiausaha Kehormat MAS Shamsuri Suradi menegaskan pembubaran itu perlu dibawa ke Parlimen untuk dibahas dan dibincangkan terlebih dahulu seperti penubuhan Perbadanan Kampong Bharu.

Oleh itu mereka akan memfailkan petisyen membantah tindakan kerajaan menamatkan fungsi mentadbir tanah lebih 121 hektar yang mengandungi tujuh buah kampung tradisi itu, katanya.

“Kini keputusan menutup MAS di bawah (pentadbiran) menteri Wilayah Persekutuan, yang mana kami rasakan tidak boleh dilakukan dan perlu dibahaskan di Parlimen,” kata Shamsuri.

Beliau memberitahu The Malaysian Insight, halangan itulah yang menyebabkan MAS tidak dapat dibubarkan sewaktu usaha dijalankan untuk menubuhkan Perbadanan Kampong Bharu.

Jelasnya, semasa PKB ditubuhkan di Parlimen sebelum beroperasi pada Julai 2012, sememangnya terdapat peruntukan menyatakan MAS perlu dibubarkan.

Bagaimanapun pembubaran itu tidak dapat dilakukan dan Kementerian Wilayah Persekutuan waktu itu juga menyebut MAS tidak perlu dimansuhkan, kata Shamsuri.

Persatuan penduduk di Kampong Bharu bagaimanapun menyambut baik langkah yang diumumkan PKB kerana berlaku pertindihan antara fungsi MAS dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Kumpulan Pemilik-pemilik dan Pewaris Tanah Kampong Bharu (Pewaris) berpendapat, ia langkah bijak kerana MAS tidak membantu usaha mewakafkan pembangunan tanah di situ.

“Pentadbiran MAS tidak diperlukan, sepatutnya DBKL yang buat, MAS nak pegang pasal tanah sedangkan sepatutnya serah kepada DBKL, mereka tidak ada fungsi.

“Kalau kata MAS nak pertahan hak Melayu kami setuju juga, tapi mereka pentingkan diri sendiri, itu sahaja yang saya nampak, kalau betul MAS jaga hak milik tanah Melayu, kami setuju.

“Tapi nampak gaya mereka tak buat kerja begitu, jadi tak perlulah MAS sebenarnya. Ada atau tidak MAS ini tidak ada apa-apa kelebihan kepada Kampong Bharu,” kata Setiausahanya Zainuddin Ismail.

Wujud isu pertindihan kuasa antara beberapa agensi yang terlibat dalam pentadbiran tanah Kampung Bharu sehingga mencetuskan rasa tidak puas hati penduduk. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Jun, 2020.

Zainuddin berkata, MAS juga mencetuskan beberapa kontroversi yang memberikan imej negatif kepada mereka.

“Masalah MAS adalah dari segi pertindihan pentadbiran dengan DBKL. Misalnya penduduk hendak renovasi rumah, ada beberapa bahagian kena dapatkan keluluskan MAS kemudian kelulusan DBKL pula.

“Timbul juga masalah baru-baru ini apabila mereka ambil deposit peniaga untuk pasar juadah. Bila kerajaan kata pulangkan deposit sebab wabak Covid-19 mereka tidak ada duit, sedangkan mereka caj mahal, tapi duit tak nak pulangkan,” katanya.

Zainudin sehubungan itu berkata, penduduk Kampong Bharu menerima tindakan PKB itu dengan hati terbuka.

“Tidak perlu untuk kita berjuang untuk mereka. Mereka tak pernah berjuang untuk kita,” tambahnya.

Pewaris juga yakin mekanisme wakaf yang dicadangkan mereka mampu menyelamatkan tanah Kampong Bharu dan menggantikan MAS, kata Zainuddin.

“Untuk memastikan tanah kami kekal dan tidak terlepas daripada tangan orang Melayu, MAS boleh diganti dengan wakaf.

“Takdir Tuhan, bila MAS mati kita boleh jalan sendiri. Wakaf akan selamatkan Kampong Bharu, bukan MAS,” kata Zainuddin lagi.

Kampung Bharu antara kawasan yang terjejas kerana wabak Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Jun, 2020.

Dalam perkembangan berkaitan, DBKL hari ini mengesahkan kenyataan PKB berhubung penamatan fungsi MAS.

Dalam kenyataannya, DBKL menegaskan semua urusan tanah di kawasan penempatan Melayu di Kampong Bharu itu bawah pentadbiran datuk bandarnya.

“Semua tanah dan aktiviti di kawasan Kampong Bharu adalah tertakluk kepada peruntukan undang-undang yang digunapakai oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur termasuklah Akta Ibu Kota Persekutuan 1960.”

Ia turut menyenaraikan enam akta yang meliputi kawalan dan kuasa pentadbiran DBKL ke atas kawasan penempatan Melayu bersejarah itu.

Dengan itu, datuk bandar berkuasa meluluskan segala urusan kawalan pembangunan dan perbandaran, menurut kenyataan dikeluarkan DBKL hari ini.

Ia mengesahkan kenyataan PKB pada Sabtu yang memaklumkan MAS tidak lagi relevan dalam menjalankan fungsi pentadbiran tanah serta perancangan dan pengurusan perbandaran di Kampong Bharu.

Menurut perbadanan itu, keputusan tersebut sudahpun mendapat perkenan Sultan Selangor pada 2019, yang menyerahkan sebarang urusan berkaitan status MAS kepada kementerian wilayah persekutuan.

Susulan itu, fungsi pentadbiran tanah dan di Kampong Bharu dilaksanakan sepenuhnya oleh Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, menurut PKB.

Ia juga menyebut, MAS perlu dimansuhkan kerana badan itu tiada sebarang fungsi kerana kebanyakan tanahnya menjadi tanah beri milik dan tanah yang tinggal pula hanya menunggu masa diberi milik.

Ia juga menggariskan MAS tidak lagi boleh terlibat dalam pengurusan perbandaran termasuklah pengeluaran permit penjaja, kutipan bayaran tempat letak kereta, dan sewa ruang iklan.

MAS juga dilarang daripada terlibat dalam dalam kawalan pembangunan meliputi kelulusan perintah pembangunan.

Ia merangkumi urusan pelan bangunan, pelan kejuruteraan, permit kerja bangunan dan tanah, penutupan jalan awam, dan kebenaran menduduki bangunan. – 10 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen