Najib didakwa dengan 3 tuduhan ubah wang haram


Bede Hong

Najib Razak tiba di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur untuk menghadapi tiga lagi pertuduhan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 8 Ogos, 2018.

MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur hari ini mendakwa bekas perdana menteri Najib Razak dengan tiga tuduhan berhubung kesalahan pengubahan wang haram melibatkan bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Kesemua pertuduhan itu dibuat mengikut  Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Untuk tuduhan pertama, beliau didakwa menerima sejumlah RM27 juta ke dalam akaunnya di AmIslamic Bank Berhad melalui sistem pemindahan wang elektronik Rentas pada 26 Disember 2014.

Bagi tuduhan kedua, Najib didakwa menerima sejumlah RM5 juta lagi ke dalam akaun berasingan di bank sama, juga pada 26 Disember 2014.

Untuk tuduhan ketiga, beliau didakwa menerima RM10 juta pada 10 Februari 2015. Beliau didakwa menerima wang tersebut dalam akaun sama yang menerima wang untuk tuduhan pertama.

Setiap tuduhan membawa hukuman denda maksimum RM5 juta, penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Azura Alwi membenarkan pertuduhan dipindah ke Mahkamah Tinggi, yang akan mendengar pengakuan Najib.

Azura juga memutuskan agar pendakwaan memohon kepada Mahkamah Tinggi untuk mendengar kesemua pertuduhan itu bersama.

Najib yang memakai suit berwarna biru kelihatan tenang ketika pertuduhan itu dibacakan ke atasnya.

Turut hadir di galeri awam adalah anak-anaknya, Norashman dan Nooryana Najwa. Para penyokong lain tidak dibenarkan memasuki mahkamah.

Najib kini menghadapi tujuh tuduhan, termasuk empat yang dikemukakan ke atasnya pada 4 Julai lalu. – 8 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen