BESTINET Sdn Bhd menafikan semua tuduhan yang ia mempunyai kaitan dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan ia menipu warga Nepal yang cuba mencari kerja di Malaysia.
Dalam satu kenyataan, firma itu berkata laporan yang diterbitkan oleh Nepali Times pada 20 Julai adalah palsu.
“Bestinet komited menjalankan perniagaannya secara bertanggungjawab dan tidak terlibat dalam amalan perniagaan tidak beretika.
“Kami ingin menyatakan Mohd Amin Abdul Nor, pengasas dan pengerusi Bestinet, bukan adik ipar Zahid.
Ia juga menafikan saudara lelaki Zahid, Abdul Hakim adalah pemegang saham syarikat itu, begitu juga Azmi Khalid yang meletak jawatan sebagai pengarah pada Januari 2017.
“Malah, tiada seorang pun di Bestinet mempunyai kaitan dengan Zahid,” kata syarikat itu.
The Nepali Times pada 20 Julai menamakan Bestinet di kalangan beberapa syarikat Malaysia yang didakwa terlibat dalam penipuan, meraih kira-kira RM185 juta (Rs5 bilion) dari Nepal yang cuba mencari kerja di Malaysia, sejak lima tahun lalu.
Laporan itu juga menyatakan adik ipar Zahid mengurusk syarikat itu dan bekas menteri dalam negeri itu juga adalah pemegang saham syarikat berkenaan.
Bestinet berkata ia adalah penyedia perkhidmatan bagi bio-perubatan dan sistem pemeriksaan biometrik yang disebut dalam laporan Nepali Times dan bahkan memenangi anugerah bagi “Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS)”.
Ia menyatakan FWCMS dibangunkan khusus untuk pemeriksaan kesihatan untuk pemeriksaan secara masa tepat, pendaftaran data demografik dan biometrik pekerja, kehadiran pekerja dan kelayakan dalam talian.
FWCMS kali pertama diperkenalkan kepada kerajaan Malaysia pada 2004 dan dikaji semula serta diluluskan pada 2011 sebelum Zahid menjadi menteri dalam negeri, kata syarikat itu.
Ia menambah, pemeriksaan bio-perubatan adalah proses wajib bagi semua pekerja asing yang masuk ke Malaysia dan setakat ini sistem itu dilaksanakan di lebih 200 pusat perubatan di 12 negara sumber tenaga kerja.
Di Nepal, sistem ini dilaksanakan di 37 pusat perubatan.
Bertentangan dengan kadar bayaran yang dilaporkan oleh Nepali Times, Bestinet berkata ia hanya mengenakan RM100 untuk sistem bio-perubatan manakala caj lain diambil oleh penyedia perkhidmatan lain, katanya.
Ia juga berkata tidak menyediakan sebarang perkhidmatan yang berkaitan dengan Pelepasan Keselamatan Imigresen, Visa Luar Negara, OSC (One Stop Centre) dan mana-mana agen yang berpangkalan di Kathmandu.
“Oleh itu, tuduhan yang mengatakan Bestinet mengenakan bayaran kepada pekerja asing untuk mengimbas pasport, cap jari dan memuat naik data dalam talian semuanya adalah palsu,” kata Bestinet.
Syarikat itu menggesa permohonan maaf daripada Nepali Times dan penarikan balik artikel itu. – 24 Julai, 2018.
Komen