KETUA Pembangkang Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau sedia disiasat mengenai kegiatan syarikat yang didakwa menipu pekerja Nepal sehingga berjaya meraih RM185 juta (Rs5 bilion) sejak lima tahun lalu.
Zahid yang juga bekas menteri dalam negeri berkata, tiada seorang pun ahli keluarganya terlibat dalam syarikat berkenaan.
“Saya sedia disiasat. Saya sedia untuk kemukan bukti kalau saya terlibat atau saya salah gunakan kuasa atau mana mana ahil keluarga saya yang terlibat.
“Sila lakukan siasatan dan saya sedia berdepan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Beliau mengulas laporan Jumaat lalu oleh The Nepali Times yang menamakan beberapa syarikat Malaysia termasuklah Bestinet Sdn Bhd yang didakwa terlibat dalam kes penipuan dengan mengenakan caj tinggi kepada warga Nepal yang mahu mendapatkan pekerjaan di negara ini.
Laporan bertajuk “Kleptocrats of Kathmandu and Kuala Lumpur” itu menyebut caj berkenaan untuk pemprosesan visa dan ujian biometrik.
Selain Bestinet yang didakwa diuruskan ipar Zahid, Amin Abdul Nor, laporan turut menamakan beberapa syarikat di Kathmandu, Malaysia VLN Nepal dan One Stop Centre (OSC) terlibat dalam penipuan pendaftaran pekerja asing negara itu.
Bagaimanapun, Zahid hari ini mendakwa tidak mengenali Amin yang dianggapnya “orang Bangla”.
“Orang Banglalah Amin tu, saya tak ada adik perempuan, adik perempuan saya semua dah kahwin,” katanya.
Laporan turut mendakwa yang adik Zahid, Abdul Hakim Hamidi dan bekas menteri dalam negeri Azmi Khalid memiliki kepentingan dalam syarikat berkenaan.
Zahid yang juga bekas timbalan perdana menteri itu berkata beliau juga tidak ada kena-mengena dengan skim pengambilan pekerja Nepal itu memandangkan ia wujud sebelum beliau menyandang jawatan menteri dalam negeri.
“Saya tak kira itu kes lama atau baru, saya tidak pernah terlibat dan saya sedia disiasat. Tak ada, bukan saya punya.
“Perlu disiasat, saya tak ada adik ipar namanya Amin, saya tidak ada saham satu sen pun dalam syarikat itu dan syarikat itu memang telah ada perniagaan sebelum saya masuk KDN,” katanya. – 23 Julai, 2018.
Komen