Tarif elektrik naik hanya bagi syarikat gergasi, kata PM


Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kenaikan tarif elektrik tidak akan dikenakan ke atas rakyat umum, pengusaha kecil sederhana dan juga industri pengeluaran makanan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Disember, 2022.

KENAIKAN tarif elektrik hanya akan dikenakan ke atas syarikat antarabangsa yang menghasilkan produk untuk eksport, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau memberi jaminan kenaikan tarif elektrik itu tidak akan dikenakan ke atas rakyat umum, pengusaha kecil sederhana dan juga industri pengeluaran makanan.

“Tarif terlalu rendah buat mereka dan subsidi itu tidak harus dikenakan ke atas syarikat gergasi yang untungnya tinggi.

“Tetapi untuk rakyat, IKS (industri kecil dan sederhana) tidak terlibat. Syarikat pertanian, pengeluar makanan tidak terlibat.

“Jadi dari segi rakyat tidak ada langsung cadangan kerajaan untuk menaikkan tarif elektrik,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Kabinet hari ini.

Ketika ditanya, beliau memberi jaminan kenaikan itu akan dibuat sedikit demi sedikit dan tidak akan membebankan firma berkenaan.

Beliau mengakui kenaikan perlu dibuat kerana kerajaan perlu menanggung beban sehingga RM30 bilion sekiranya tidak melaksana tindakan itu.

Jelasnya jemaah menteri memutuskan perkara itu berdasarkan laporan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) yang bersidang semalam.

Tambahnya, butiran mengenai kenaikan tarif tersebut akan diumumkan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad. – 14 Disember, 2022. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen