Apandi tiada, saya cerita isu Batu Puteh, kata Dr Mahathir


Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali sepatutnya menjadi saksi dan bukan mempengerusikan jawatankuasa khas bagi menyiasat kes Pulau Batu Puteh. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Jun, 2022.

DR Mahathir Mohamad enggan disiasat oleh jawatankuasa yang dibentuk kerajaan mengenai isu kes Pulau Batu Puteh selagi ia diketuai bekas peguam negara Apandi Ali.

Bekas perdana menteri pagi ini meninggalkan Pejabat Peguam Negara di Putrajaya selepas mengetahui Apandi masih mempengerusikan jawatankuasa, biarpun selepas membuat bantahan.

“Saya tidak akan hadir sesi siasatan ini. Kita sudah tulis surat kepada pejabat (peguam negara) meminta penjelasan kenapa Apandi dipilih mempengerusikan panel.

“Apandi terlibat dalam kes ini, dia tak patut pengerusikan jawatankuasa ini. Sebaliknya, dia patut jadi saksi.

“Tetapi dia dilantik pengerusi. Ini mengarut,” katanya, seperti dipetik Malaysiakini.

Dr Mahathir tiba di Pejabat Peguam Negara pukul 11.40 pagi diiringi peguam tetapi keluar beberapa minit kemudian.

Pada Oktober 2021, Jemaah Menteri menubuhkan sebuah pasukan petugas khas untuk menyemak undang-undang berkenaan isu Pulau Batu Puteh.

Pasukan petugas khas itu juga mengumpulkan pandangan undang-undang mengenai kemungkinan wujudnya elemen salah laku apabila pentadbiran Dr Mahathir menarik balik  permohonan untuk menyemak keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Pada 23 Mei 2008, ICJ memutuskan Pulau Batu Puteh milik Singapura sementara Batuan Tengah milik Malaysia. Tubir Selatan yang terletak empat kilometer dari Pulau Batu Puteh pula akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang akan ditentukan antara kedua-dua negara.

Permohonan itu difailkan semasa pentadbiran Najib Razak pada Februari 2017 tetapi ditarik balik pada Jun 2018, semasa Dr Mahathir jadi perdana menteri menerajui kerajaan Pakatan Harapan.

Menurut Dr Mahathir, beliau sedia memberi kerjasama kepada siasatan kerajaan ini tetapi biarlah panel yang menyiasatnya tidak mempunyai kepentingan dalam isu berkenaan.

Apandi adalah peguam negara semasa Malaysia mengemukakan permohonan kepada ICJ untuk menyemak semula keputusannya.

“Kalau mereka (kerajaan) mahu berlaku adil, mereka mesti lantik pihak ketiga yang tiada kena mengena dengan perkara ini,” kata bekas perdana menteri.

Menurut peguamnya, Dr Mahathir menulis tiga kali kepada Pejabat Peguam Negara membantu pelantikan Apandi. – 28 Jun, 2022.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen