Ketum ayam buat najis ternakan kurang busuk, kata pelopor


Mohd Farhan Darwis

Daun ketum ayam yang dikisar bersama jagung dan makanan ayam lain mampu mengurangkan kos makanan ternakan sekali gus membantu penternak.

MASALAH bau busuk dan pembiakan lalat di ladang ternakan mampu diselesaikan dengan memberi ketum ayam sebagai makanan haiwan tersebut, kata pengkaji Supardi Bai.

Beliau memberitahu The Malaysian Insight, daging ayam yang diberi makan tumbuhan Madre de agua itu juga lebih bermutu.

“Satunya kualiti daging kita memang terbaik, daging manis, siapa bela ayam kampung kacuk kalau guna dedak dagingnya akan berbau hanyir.

“Kita dapat hilangkan bau hanyir, tekstur daging lebih kenyal, kalau bagi dedak (sepenuhnya tekstur daging) dia lembik, manisnya (daging) boleh bezakan.

“Untuk masalah yang dapat diselesaikan daripada ternakan ayam kampung kacuk adalah lalat dan bau tidak ada… Di sini kawasan perumahan dekat, tetapi najisnya tidak berbau.”

Tanam, tuai, tinggal

Beliau yang mesra dengan panggilan Pak Tam berkata, ketum ayam juga tidak mempunyai musuh semulajadi dan tidak diserang binatang perosak seperti babi dan monyet.

Malah, pokok ketum ayam juga mudah ditanam dan tidak memerlukan penjagaan rapi, kata graduan kejuruteraan dari Universiti Okayama, Jepun itu.

Tanaman itu juga katanya ditanam menggunakan kaedah keratan batang, dengan setiap pokok mampu bertahan sehingga 10 tahun.

“Jangka hayat kalau kita jaga ikut pengalaman saya, 10 tahun lebih, pokok pertama saya tanam pun masih hidup lagi.

“Kita gunakan konsep 3T – tanam, tinggal, tuai. Tiada baja berkala, hanya baja bila perlu,” tambahnya.

Daun ketum ayam mempunyai tekstur yang lembut dan mudah dihadam sekiranya dijadikan makanan ternakan, kata Pak Tam.

Tempoh menunggu sebelum pokok itu boleh dituai juga sangat singkat dan membolehkan pulangan pelaburan dikutip lebih cepat, katanya.

“Pokok ini cepat membesar, dalam masa dua bulan ditanam ia akan tinggi dalam 2 kaki kita dah boleh mula tuai.

“Kita tak perlu tunggu jangka masa yang lama, macam kelapa sawit, dan getah… Pokok ini dua bulan sudah boleh dituai dan sambil dia membesar kita petik daunnya.

Daun ketum ayam dicampur dengan jagung untuk dijadikan makanan ternakan.  – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 19 Jun, 2022.

Pokok itu juga mampu tumbuh untuk tuaian semula selepas dipotong apabila berketinggian sekitar 7 kaki hingga 8 kaki.

“Kita tebang kira-kira sekaki daripada pangkal dan ia akan tumbuh semula, jadi tidak perlu tanam semula,” katanya.

Jelasnya, oleh sebab itu kos menggunakan ketum ayam sebagai makanan ternakan juga sangat efektif berbanding dedak yang kini menelan kos sangat tinggi.

Katanya, sekiranya ternakan diberi makan dedak, kos penternak mencecah sehingga 70% daripada keseluruhan kos.

“Bayangkan kalau kita beli dedak satu guni 50kg (harganya) RM151. Setiap kilogram berharga kira-kira RM3, apabila kita beri makan habis, seguni dedak sehari hingga tiga hari akan habis.

“Katakan kita belanja RM150 untuk sehari atau tiga hari. Untuk ketum ayam, katakan kita belanja RM150 (untuk benih) hasilnya antara 10 hingga 15 tahun masih boleh dituai,” kata Pak Tam.

Tambahnya, setiap keratan batang benih ketum ayam dijual sekitar RM15 manakala daunnya dijual sekitar RM8 setiap kilogram.

Selain ayam, penternak turut menggunakan ketum ayam untuk arnab, puyuh, ikan tilapia, lembu, kambing, katanya yang menjalankan kajian dengan Universiti Teknologi Malaysia.

“Ini semua boleh diberi secara langsung, petik dan bagi makan (tanpa perlu diproses)

“Kelebihan benih ketum ayam sangat berbaloi, pelaburan sekali, tanam sekali dan boleh dituai berkali-kali,” katanya lagi.

Beliau menganjurkan makanan ternakan alternatif itu kerana Malaysia mengimport sepenuhnya komponen utama bahan itu seperti jagung bijirin dan soya dari Argentina dan Brazil.

Malaysia mengimport kira-kira RM6.2 bilion bahan makanan ternakan pada 2020, yang merupakan antara import terbesar negara.

Kos import makanan negara mencecah RM63.3 bilion pada 2021, berbanding RM55.4 bilion pada tahun 2020 dan jumlahnya semakin meningkat saban tahun.

Peningkatan harga bahan mentah itu di peringkat global dikesan menjadi antara punca kenaikan harga ayam di dalam pasaran tempatan. – 19 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen