Saman pemecatan Apandi Ali sebagai peguam negara selesai luar mahkamah


Ravin Palanisamy

Apandi Ali memfailkan saman pada September 2020 yang menuntut perisytiharan penamatan perkhidmatannya sebagai peguam negara pada 2018 oleh Dr Mahathir Mohamad tidak sah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 April, 2022.

BEKAS peguam negara Mohamed Apandi Ali mencapai persetujuan dengan kerajaan untuk menyelesaikan tuntutan beliau berhubung pemecatannya pada 2018.

Baljit Singh Sidhu, peguam yang bertindak bagi pihak Apandi, mengesahkan penyelesaian bersama itu direkodkan pagi ini di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Akhtar Tahir.

“Tanpa prejudis, kerajaan setuju untuk menyelesaikan tindakan ini tanpa menerima liabiliti. Terma penyelesaian adalah sulit.

“Kes dibatalkan tanpa kebebasan untuk memfailkan semula dan tiada perintah untuk kos,” kata Baljit kepada wartawan.

Baljit juga mengesahkan persetujuan melibatkan penyelesaian menyeluruh tuntutan Apandi yang dikemukakan terhadap kerajaan serta Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri pada masa itu. 

Apandi turut diwakil peguam Abd Shukor Ahmad dan Nor Shahadah Saari, sementara kerajaan dan Dr Mahathir diwakili Donald Joseph Franklin, Shahruah Shapiee dan Abdul Hakim Ab Keram @ Ab Karem.

Apandi memfailkan samannya pada September 2020. Beliau menuntut satu perisytiharan bahawa penamatan perkhidmatannya sebagai peguam negara pada 2018 oleh Dr Mahathir tidak sah.

Beliau menuntut RM2,233,599.36 sebagai ganti rugi khas, punitif dan am untuk dinilai oleh mahkamah.

Apandi, bekas hakim, dilantik peguam negara pada 27 Julai 2015. Tempoh perkhidmatan beliau sepatutnya berakhir 26 Julai 2018.

Menurut Apandi, ketua setiausaha negara pada masa itu memaklumkan kepadanya melalui sepucuk surat sebelum Pilihan Raya Ke-14 bahawa perkhidmatannya dilanjutkan untuk tiga tahun.

Bagaimanapun dalam sepucuk surat bertarikh 5 Jun 2018, ketua setiausaha negara memaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong telah berkenan untuk menamatkan perkhidmatannya. Surat itu bagaimanapun tidak melampirkan dokumen perkenan diraja.

Kerajaan dalam pembelaannya berkata Dr Mahathir tidak berperanan dalam penamatan perkhidmatan Apandi, malah keputusan memendekkan tempoh perkhidmatan itu dibuat mengikut undang-undang. – 13 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen