Sultan Selangor berkenan lukisan papar beruk, katak bersidang di Dewan Rakyat


Sultan Sharafuddin Idris Shah bersama catan yang memaparkan binatang-binatang sedang bersidang di Dewan Rakyat. – Gambar Twitter Selangor Royal Office, 12 April, 2022.

ISTANA Selangor mengumumkan Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan memiliki satu lukisan memaparkan haiwan beruk dan katak dari pelbagai spesies sedang bersidang di Dewan Rakyat.

Pejabat baginda dalam satu kenyataan menyebut, Sultan Sharafuddin berkenan dengan catan itu sejak pandangan pertama, dan berhasrat untuk melelong karya itu kelak untuk tujuan amal.

“Sebaik melihatnya, baginda berkenan untuk membeli karya lukisan itu. Satu hari nanti, baginda berhasrat melelong lukisan ini dan hasil lelongan akan disumbangkan untuk tujuan kebajikan.”

Harga bagi lukisan besar itu setinggi paras bahu baginda itu bagaimanapun tidak dinyatakan.

Karya itu dipengaruhi satu karya popular pelukis jalanan Banksy bertajuk Devolved Parliament yang turut memaparkan ahli Parlimen Britain sebagai beruk. 

Lukisan satira itu pernah dipamerkan di pameran Banksy di Bristol Museum & Art Gallery pada 2009 dan meraih lelongan lebih RM54 juta (GBP9.87 juta) pada 2019.

Lukisan milik Sultan Sharafudin pula memaparkan haiwan beruk dan katak yang turut menggambarkan ahli dewan, di kedua-dua belah kem kerajaan dan pembangkang.

Kalangan beruk berkenaan digambarkan sedang mempamerkan pelbagai aksi – ada yang menyeringai, ketawa dan ada kelihatan seolah-olah sedang melaungkan sesuatu ke atas pihak lawan.

Karya popular pelukis jalanan Banksy bertajuk Devolved Parliament yang turut memaparkan ahli Parlimen Britain sebagai beruk.  – Gambar EPA, 12 April, 2022. 

Beruk berkenaan antaranya terdiri dari pelbagai jenis, antaranya monyet, orang utan, monyet belanda, kera, cimpanzi, gorilla dan babun mandril.

Katak yang digambarkan juga terdiri dari pelbagai warna dan saiz – ada yang berwarna hijau gelap, hijau muda, coklat, dan biru dengan corak seperti ikan toman di bahagian tepi abdomen.

Katak berkenaan digambarkan duduk di antara para beruk di kedua-dua belah kem. Salah seekor katak, berwarna kuning keemasan, digambarkan sedang melompat dari bahagian belakang dewan.

Speaker dan timbalan bagaimanapun digambarkan sebagai manusia biasa yang memakai busana kebesaran dewan dalam babak persidangan itu.

Katak merupakan kata figuratif yang sering digunakan secara kolokial untuk menggambarkan aksi wakil rakyat yang melompat parti pada waktu ini.

Beruk pula merupakan haiwan yang sering dijadikan perumpamaan dalam budaya Melayu untuk menggambarkan peri pekerti tidak senonoh itu. 

Pembelian karya tersebut oleh Sultan Sharafudin diumumkan sewaktu para ahli Parlimen ditugaskan membahaskan rang undang-undang baharu bagi menyekat kegiatan lompat parti.

Aktiviti lompat parti itu menyebabkan pentadbiran negara bertukar sebanyak dua kali sejak pilihan raya umum ke-14 – pertama pada Februari 2020 dan seterusnya pada Ogos 2021. – 12 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen