Mahkamah Tinggi perintah Loh disatukan semula dengan anaknya


Ravin Palanisamy

Ibu tunggal Loh Siew Hong akan disatukan dengan tiga anaknya, selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa perintah mahkamah sebelum ini yang memberikan hak penjagaan tunggalnya masih kekal. – Gambar Facebook, 21 Februari 2022.

IBU tunggal Loh Siew Hong akan disatukan semula dengan tiga anaknya selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa perintah mahkamah sebelum ini yang memberikan hak penjagaan penuh kepadanya masih kekal.

Hakim Collins Sequerah menyampaikan keputusan itu hari ini, turut membatalkan penjagaan secara tidak sah ke atas tiga kanak-kanak berkenaan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat dan seorang individu Nazirah Nanthakumari.

“Tiga kanak-kanak itu akan dibebaskan serta-merta kepada hak penjagaan, penjagaan dan kawalan sepenuhnya pemohon (Loh),” kata Collins.

Loh telah dipisahkan daripada anak-anaknya - kembar perempuan berusia 14 tahun dan seorang lelaki berusia 10 tahun - sejak 2019 ketika dia berada di hospital akibat kecederaan yang didakwanya didera oleh Naghaswaran.

Pada bulan Julai 2020, bekas suami Loh, Nagahswaran Muniandy, menukarkan agama anak-anak mereka, dan Loh tidak dapat menemui mereka selain terhalang oleh sekatan pergerakan Covid-19.

Naghaswaran kini berada di penjara di Kelantan atas kesalahan berkaitan dadah.

Loh diberikan hak penjagaan penuh ke atas kanak-kanak itu Mac lalu, dan akhirnya dapat mengesan mereka awal bulan lalu di sebuah rumah kebajikan Perlis dan mengetahui mereka telah menukar agama.

Beliau turut membuat laporan polis selepas tidak dapat menemui mereka.

Walaupun mendapat hak penjagaan daripada mahkamah, polis mahupun pihak berkuasa kebajikan tidak menyerahkan kanak-kanak itu kepadanya.

Loh memfailkan permohonannya melalui notis usul di Mahkamah Tinggi pada 13 Februari, menamakan pendakwah kanan Hidayah Centre Nazirah Nanthakumari Abdullah dan pihak yang menjaga anak-anaknya sebagai responden kedua.

Loh diwakili peguam A. Srimurugan dan Shamsher Singh Thind.

Srimurugan memberitahu mahkamah hari ini bahawa Loh telah diberikan interim ex-parte bertarikh 20 Disember 2019, memberikan hak penjagaan, penjagaan dan kawalan sepenuhnya ke atas tiga kanak-kanak itu.

Selepas mengambil kira semua ini semasa menyampaikan keputusan itu, Collin berkata perintah yang dikeluarkan di mahkamah sebelum ini masih sah dan ia tidak boleh diabaikan.

“Menurut perintah Mahkamah Tinggi bertarikh 31 Mac 2021, pemohon telah diberikan hak penjagaan, penjagaan dan kawalan sepenuhnya ke atas tiga kanak-kanak itu.

“Terdapat juga perintah ex-parte interim lebih awal bertarikh 20 Disember 2019, memberikan hak penjagaan penuh, penjagaan dan kawalan ketiga-tiga kanak-kanak itu kepada pemohon.

“Perintah mahkamah masih kekal, masih sah. Perintah mahkamah tidak boleh dilayan dengan sewenang-wenangnya atas penghinaan mahkamah,” kata Collin.

Terdahulu, semasa penghujahan, Srimurugan memberitahu mahkamah bahawa kes Loh amat menyedihkan kerana beliau berpisah dengan anak-anaknya.

Sambil menunjuk ke bilik saksi, yang menempatkan anak-anak Loh, Srimurugan berkata ibu tunggal itu tidak dapat mendekati mereka.

“Ini adalah ibu dalam kesusahan. Pada masa ini, beliau tidak boleh mendekati anak-anaknya. Ia adalah perlakuan yang sungguh tidak berperikemanusiaan,” katanya.

Peguam Aidil Khalid, yang mewakili Nazirah, berhujah bahawa permohonan habeas corpus Loh - menamakan pendakwah sebagai responden bersama - adalah akademik kerana kanak-kanak itu tidak lagi bersamanya.

Beliau berkata kanak-kanak itu kini berada di bawah jagaan jabatan kebajikan, yang telah dipersetujui oleh Low.

“Dalam afidavitnya, beliau menyatakan bagaimana beliau mengetahui di mana kanak-kanak itu. Beliau tidak mempunyai hak penjagaan dan kawalan ke atas mereka kerana hanya bertemu anak-anak itu semasa cuti sekolah.

“Apabila bapa tiada, beliau (Nazirah) mengambil tanggungjawab menjaga mereka. Mereka tidak boleh mengatakan beliau menjaga anak-anak ini secara haram,” kata Aidil.

Kedua-dua Srimurugan dan Aidil bersetuju bahawa kes ini tiada kaitan dengan agama. – 21 Februari, 2022.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen