SPRM serbu pejabat Mara Corp


Alfian Z.M. Tahir

SPRM menyita sejumlah dokumen serta mengambil keterangan daripada beberapa kakitangan Mara Corp semasa serbuan tengah hari tadi. – Gambar maracorporation.com.my, 7 Februari, 2022.

AGENSI antirasuah hari ini menyerbu pejabat Mara Corp ketika media sejak beberapa hari lalu melaporkan dakwaan salah laku melibatkan beberapa pegawai kanannya.

Sumber mengesahkan kepada The Malaysian Insight serbuan dibuat sebelum tengah hari tadi.

Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita sejumlah dokumen serta mengambil keterangan daripada beberapa kakitangan.

Sementara itu, media melaporkan SPRM turut serentak menyerbu pejabat Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan pejabat setiausaha syarikat kepada Mara Corp.

Mara Corp ialah anak syarikat Mara yang mengendalikan pelaburan strategik, yang ditubuhkan pada 2016. 

Kelmarin SPRM mengesahkan menerima laporan dakwaan salah laku beberapa pegawai kanan Mara Corp yang sedang disiasat secara dalaman oleh syarikat itu.

Agensi antirasuah itu juga memaklumkan akan memulakan siasatan mereka minggu ini dengan mengambil keterangan beberapa saksi di Mara Corp.

Pengerusi Mara Azizah Mohd Dun sebelum itu menafikan ada salah guna kuasa atau urus tadbir dalam Mara Corp atau Mara, seperti yang terdedah dalam satu dokumen yang tular di media sosial.

Mara bagaimanapun tidak melindungi mana-mana pihak yang terlibat salah guna kuasa atau tidak berintegriti, katanya.

Lima individu yang dinamakan dalam dokumen yang tular di media sosial juga sudah membuat laporan kepada pihak polis dan SPRM.

Mereka menuntut siasatan terhadap pengarah eksekutif Mara Corp Suhaili Abdul Rahman, yang sebelum itu mendakwa mereka terlibat dengan salah laku dan tidak berintegriti. – 7 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen