Fitnah, kata pegawai kanan Mara dituduh terlibat salah laku


Lima pegawai kanan Mara yang dituduh terlibat salah laku korporat mendakwa tuduhan ke atas mereka merupakan fitnah semata-mata. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Februari, 2022.

LIMA pegawai kanan Mara yang dituduh terlibat salah laku korporat membuat laporan polis ke atas soerang pengarah Mara Corp dan pengendali akaun Twitter yang membocorkan surat berkaitan tuduhan berkenaan.

Dalam laporan di balai polis Dang Wangi itu, mereka antara lain mendakwa tuduhan ke atasnya dalam surat yang tular itu merupakan fitnah semata-mata.

Laporan yang dibuat awal pagi ini dibuat Noor Irwan Marmin, Iskandar Zainudin, Rizal Abdul Gani, Mohd Faizal Mohd Top, dan Mohd Firdaus Zubir

“Segala rujukan terhadap saya dalam surat tersebut tidak benar sama sekali dan saya tidak pernah tidak pernah pada bila-bila amsa melakukan apa sahaja kesalahan yang didakwa dalam surat tersebut,” kata mereka dalam laporan masing-masing.

Laporan yang dilihat oleh The Malaysian Insight itu menuntut siasatan ke atas kebocoran maklumat dalaman Mara.

Dokumen dalaman itu dipercayai melibatkan surat menyebut siasatan kes salah laku yang didakwa berlaku selepas mereka dipinjamkan kepada anak syarikat, Mara Corp.

Ia melibatkan surat oleh Pengarah Eksekutif Mara Corp Suhaili Abdul Rahman kepada Pengerusi Mara Azizah Mohd Dun bertarikh 30 Januari.

Kandungan surat itu disahkan Suhaili kepada The Malaysian Insight.

Kes tersebut antara lain didakwa melibatkan pemberian imbuhan dan kenaikan pangkat secara tidak wajar dan tidak disemak oleh pegawai pengurusan atasan.

Akaun Twitter yang menyiarkan surat mengandungi tuduhan berkenaan dinamakan sebagai @ES_EdisiKhas. – 6 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen