Wang ehsan ganti royalti minyak tiada dalam akta, kata Ku Li


PEMBAYARAN wang ehsan sebagai ganti royalti pengeluaran minyak tidak termaktub dalam Akta Kemajuan Petroleum 1974, kata Tengku Razaleigh Hamzah.

Tengku Razaleigh, 84, adalah pengerusi pengasas Petronas dan bertanggungjawab menggubal akta berkenaan.

Beliau yang juga ahli Parlimen Gua Musang berkata melalui perjanjian dengan kerajaan negeri pengeluar minyak, Petronas akan membayar tunai 5% kepada negeri sebagai ganti penyerahan hak minyak dan gas kepada syarikat petroleum negara.

“Di bawah Akta Kemajuan Petroleum dan surat ikatan peletakhakan yang merupakan sebahagian daripada akta itu, anda tidak boleh membayar wang ihsan kerana tiada peruntukan untuk perkara itu di bawah akta berkenaan,” katanya dalam wawancara dengan Free Malaysia Today.

Tengku Razaleigh menjelaskan perjanjian itu adalah antara kerajaan negeri dan Petronas, dan bukannya antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan.

Dalam wawancara itu Tengku Razaleigh menjelaskan idea formula royalti 5% daripada bekas ketua menteri Sarawak pada masa itu Abdul Rahman Ya’kub. Tengku Razaleigh juga menceritakan bagaimana beliau sendiri berjumpa setiap kerajaan negeri untuk mendapatkan persetujuan.

Isu royalti minyak kembali jadi perhatian sejak minggu lalu selepas Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat memberitahu Putrajaya tidak akan membayar royalti minyak kepada Kelantan kerana petroleum yang dihasilkan diperolehi di luar pesisir pantai negeri itu.

Tengku Zafrul menjawab soalan Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari dari PAS yang meminta kerajaan menyatakan status terkini tuntutan bayaran royalti tunai oleh Kelantan.

Jelas Tengku Razaleigh, Petronas bertanggungjawab membayar royalti 5% kepada semua negeri dalam persekutuan yang menyerahkan hak petroleumnya kepada syarikat itu, dan Tengku Zafrul mungkin tidak diberi taklimat menyeluruh mengenainya.

Wang ehsan hanya muncul apabila pentadbiran Dr Mahathir Mohamad tidak mahu meneruskan pembayaran royalti kepada Terengganu apabila PAS mengambil alih pentadbiran negeri itu selepas Pilihan Raya Umum 1999.

Menurut Tengku Razaleigh, kerajaan persekutuan perlu menghormati perjanjian sedia ada antara Petronas dan kerajaan negeri.

Katanya, kalau perjanjian dengan kerajaan negeri pun tidak boleh dihormati, bagaimana pelabur asing hendak yakin dengan kerajaan persekutuan.

“Jika Putrajaya mahu terus membayar di bawah skim wang ihsan ini kepada negeri berkaitan, mereka boleh teruskan.

“Tetapi, saya hanya katakan di bawah perjanjian surat ikatan peletakhakan, yang merupakan sebahagian akta itu, anda tidak boleh lari daripada hakikat apa sahaja minyak yang anda hasilkan, 5% perlu diberikan kepada negeri sebagai bayaran tunai.

“Itu perjanjiannya,” katanya.

Semalam, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man mencadangkan sebuah jawatankuasa bebas dibentuk melibatkan kerajaan negeri Kelantan dan Putrajaya untuk membincangkan isu-isu berkaitan royalti petroleum.

Beliau yang juga menteri alam sekitar dan air yakin isu royalti berkenaan dapat diselesaikan kerana Kelantan kini bukan lagi pembangkang. – 29 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen