Ujian pindah organ babi ke badan manusia berjaya, kata saintis


Eksperimen yang julung kali diadakan itu disifatkan sebagai kejayaan luar biasa oleh pakar bedah yang mengetuai prosedur itu. – Gambar AFP, 21 Oktober, 2021.

PASUKAN perubatan Amerika Syarikat (AS) berjaya memindahkan buah pinggang daripada babi kepada manusia, pada 25 September lalu, lapor AFP.

Eksperimen yang julung kali diadakan itu disifatkan sebagai kejayaan luar biasa oleh pakar bedah yang mengetuai prosedur itu.

Pembedahan membabitkan seekor haiwan penderma yang diubah suai secara genetik dan seorang pesakit mati otak yang bergantung pada alat bantuan pernafasan.

Prosedur tersebut mendapat kebenaran keluarga pesakit berkenaan.

“Buah pinggang tersebut berfungsi seperti yang sepatutnya, iaitu menyingkirkan bahan kumuh dan menghasilkan air kencing,” kata Robert Montgomery, pengarah Transplant Institute di Universiti New York (NYU) Langone semasa ditemu bual AFP.

Kejayaan eksperimen itu tambahnya berpotensi besar membantu mengatasi masalah kekurangan organ manusia.

Montgomery berkata pembedahan berlangsung selama dua jam membabitkan beberapa doktor pakar.

Katanya, buah pinggang itu dicantumkan ke saluran darah di bahagian atas salah satu kaki pesakit berkenaan, bagi memudahkan pemantauan dan pengambilan sampel biopsi.

Alat bantuan pernafasan pada pesakit itu kemudian ditanggalkan dan beliau meninggal dunia selepas 54 jam eksperimen dijalankan. – AFP, 21 Oktober, 2021.
  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen