Perikatan sokong selagi pentadbiran Ismail bersih, kata Muhyiddin


Muhyiddin Yassin berkata Ismail Sabri Yaakob mendapat sokongan Perikatan Nasional untuk menjadi perdana menteri sekiranya ahli Parlimen Bera itu membentuk kerajaan yang bersih. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 19 Ogos, 2021.

ISMAIL Sabri Yaakob mendapat sokongan Perikatan Nasional (PN) untuk menjadi perdana menteri sekiranya ahli Parlimen Bera itu membentuk kerajaan yang bersih, kata pengerusi gabungan itu Muhyiddin Yassin.

Beliau menyatakan syarat tersebut dalam kenyataan yang menyebut sokongan sebulat suara PN untuk mencalonkan Ismail sebagai perdana menteri gabungan itu.

“... Beliau hendaklah memastikan ahli jemaah menteri yang bakal dilantik nanti terdiri daripada mereka yang berintegriti, beramanah dan bebas daripada sebarang pertuduhan jenayah di mahkamah.

“Kerajaan PN di bawah pimpinan beliau juga mestilah meneruskan amalan menghormati prinsip pengasingan kuasa, melindungi kebebasan badan kehakiman dan menjunjung konsep raja berperlembagaan,” kata Muhyiddin. 

Ia kesinambungan daripada ikrarnya sebelum meletak jawatan perdana menteri kelapan Isnin lalu—untuk memastikan golongan “kleptokrat” tidak kembali mentadbir negara.

Golongan “kleptokrat” itu merujuk kepada kumpulan ahli Parlimen Umno yang kini berdepan pelbagai tuduhan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

Individu berkenaan antara 15 ahli Parlimen Umno yang menarik sokongan ke atas Muhyiddin pada bulan lalu dan menyebabkan beliau terpaksa meletak jawatan pada Isnin lalu.

Beliau berbuat demikian selepas gabungan pembangkang enggan menerima tujuh tawarannya untuk memastikan kerajaan PN pimpinannya kekal berkuasa.

Muhyiddin seterusnya mengesahkan kesemua 50 ahli Parlimen dalam gabungan PN menyokong Ismail.

Ia termasuk 31 dari Bersatu, 18 dari PAS, dan seorang dari Star.

Selain itu, Muhyiddin turut menghimpun sokongan dari empat ahli Dewan Rakyat bebas yang menyokong PN sebagai wakil rakyat yang sokongan terhadap Ismail.

Kesemuanya menyatakan sokongan kepada Ismail dalam akuan bersumpah yang diserahkan ke Istana Negara pada 18 Ogos, katanya.

“Saya juga berunding dengan pimpinan parti GPS dan PBS yang membentuk kerajaan PN sebelum ini untuk mengambil ketetapan sama,” katanya.

Kenyataan itu disiarkannya hari ini selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Baginda menerima menghadap kesemua ahli Parlimen yang menyokong Ismail hari ini, antara lain bagi memastikan wakil rakyat tersebut tidak membuat pilihan berkenaan dalam keadaan dures.

Baginda juga menetapkan perdana menteri baharu yang dipilih melalui surat akuan ini perlu mengadakan usul undi percaya di Dewan Rakyat secepat mungkin. – 19 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen