RM114 juta dikembalikan kepada Najib dan Umno, lapor media


Bekas presiden Umno Najib Razak dan Umno menerima kembali wang tunai RM114 juta yang disita oleh polis pada 2018 kerana gagal dibuktikan terlibat dalam skandal 1MDB. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Ogos, 2021. 

WANG tunai RM114 juta yang disita oleh polis pada 2018 sudah dipulangkan kepada Umno dan bekas presidennya Najib Razak, lapor Astro Awani.

Menurut laporan berkenaan, perkara itu disahkan oleh timbalan pendakwa raya Faten Hadni Khairuddin yang memberitahu portal berkenaan bahawa wang itu dikembalikan pada 17 Jun.

Pihak pendakwaan gagal membuktikan wang tunai yang dirampas adalah dari dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“(Aset) telah diserahkan kepada Najib melalui wakil kerana pihak pemohon (pendakwaan) tidak memfailkan rayuan,” kata Faten kepada portal berita berkenaan.

Keputusan mengembalikan wang itu dibuat selepas pihak pendakwaan memutuskan untuk tidak memohon untuk memfailkan rayuan selepas Hakim Mahkamah Tinggi Muhammad Jamil Hussin dalam penghakiman 20 Mei lepas menolak pendakwaan melucut hak aset terbabit.

Pada Mei, mahkamah tinggi menolak permohonan pendakwaan untuk melucut hak wang yang disita oleh polis di kondominium mewah Pavilion Residences tiga tahun lalu yang didakwa disalahgunakan daripada 1MDB.

Jamil berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan aset tersebut diperoleh melalui aktiviti pengubahan wang haram.

Selain wang tunai, polis juga merampas 11,991 jenis barang kemas, 401 jam tangan, 16 aksesori, 234 cermin mata, 306 beg tangan dan wang tunai dalam pelbagai denominasi dalam serbuan yang dilakukan semasa pemerintahan Pakatan Harapan. – 5 Ogos, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen