Dr Mahathir mahu kerajaan tubuh segera majlis khas tangani Covid-19


Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan perlu tubuhkan badan khas, dengan kuasa melakukan apa saja yang boleh untuk menangani penularan Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Julai, 2021.

DR Mahathir Mohamad mahu kerajaan menubuhkan segera sebuah badan khas, dengan kuasa melakukan “apa saja yang boleh”, untuk menangani penularan Covid-19 sehingga ia tidak lagi mengancam rakyat.

Dalam satu tulisan di blognya, bekas perdana menteri berkata badan itu harus diberi kuasa istimewa dengan matlamat mengurangkan kes Covid-19.

“Keadaan sangat serius. Ada keperluan untuk tindakan segera, biarpun jika tindakan itu bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan dan undang-undang negara.

“Saya mencadangkan sebuah badan khas ditubuh segera, dengan kuasa-kuasa khas untuk bertindak dalam apa cara sekali pun untuk mengurangkan kes baharu yang meningkat, mengurangkannya sehingga ia tidak lagi menjadi ancaman kepada nyawa dan aktiviti biasa orang ramai,” katanya dalam tulisan terbaru di blognya, hari ini.

Dr Mahathir menyebut kuasa yang luas itu ada di bawah perintah darurat, yang dipakai oleh kerajaan Muhyiddin Yassin sejak 11 Januari lalu.

Dalam darurat, tindakan dan struktur yang tidak ada dalam perlembagaan dan undang-undang boleh berlaku bagi menangani ancaman kepada negara.

“Jelas di bawah (perintah) darurat apa saja yang boleh mengurangkan kesan pandemik adalah sah,” katanya.

Ini termasuk mengabaikan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang, tambahnya.

Dr Mahathir mengulangi cadangannya sebelum ini untuk kerajaan menubuhkan sebuah badan yang sama seperti Majlis Gerakan Negara, yang menguruskan isu-isu berbangkit susulan darurat antara 1969 dan 1971 selepas rusuhan kaum 13 Mei 1969.

Beliau mencadangkan badan itu dibiayai oleh kerajaan melalui peruntukan khas yang sepadan dengan tugas-tugasnya.

Badan itu juga akan menggunakan khidmat kakitangan awam yang terlibat dengan pelaksanaan tindakan-tindakan yang dicadangkan nanti, katanya.

“Badan ini mesti mempunyai kuasa dan wibawa seperti yang diberi kepada Majlis Gerakan Negara semasa Darurat pada 1969 hingga 1971,”  tambahnya.

Dr Mahathir pertama kali melontarkan idea ini kepada Yang di-Pertuan Agong semasa Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menerima mengadap ketua-ketua parti politik pada bulan lalu, untuk mendengar pandangan mengenai keadaan semasa negara.

Dr Mahathir kemudian menjelaskan badan yang dicadangkannya boleh dinamakan Majlis Pemulihan Negara, yang akan mengemukakan cadangan penyelesaian kepada krisis ekonomi, politik, sosial dan kesihatan akibat penularan Covid-19.

Menurut bekas perdana menteri, kuasa darurat yang dipakai oleh kerajaan Muhyiddin sejak tujuh bulan lalu setakat ini gagal menangani pandemik kerana kes jangkitan harian terus meningkat sementara pesakit Covid-19 semakin banyak meninggal dunia.

Dalam tempoh tujuh hari lalu, Malaysia merekodkan purata lebih kurang 8,500 kes jangkitan baharu sehari, dengan tiga hari daripadanya mencecah lebih 9,000 kes. Angka kematian akibat Covid-19 kini 6,260 orang.

Dr Mahathir mengulangi cadangannya ini ketika sekumpulan doktor tampil mendedahkan penularan Covid-19 di Malaysian kini seperti keadaan yang pernah dilaporkan oleh media mengenai Itali dan India. – 13 Julai, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen