Ahli akar umbi tidak faham penjajaran baharu Zahid, kata pemimpin Umno


Mohd Farhan Darwis

Pemimpin Umno di bahagian dan cawangan mahu presiden parti Ahmad Zahid Hamidi beri penjelasan mengenai idea penjajaran baharu politik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Mei, 2021.

AHLI Umno di akar umbi tidak jelas maksud penjajaran baharu politik yang disebut oleh presiden parti Ahmad Zahid Hamidi, kata pemimpin Umno di bahagian dan cawangan.

Mereka berharap Zahid dapat memberikan penjelasan mengenai idea penjajaran baharu politik Umno, sama ada ia bermaksud bekerjasama dengan musuh tradisinya PKR dan DAP.

Ketua Pemuda Umno Segamat yang juga exco Pemuda Umno Malaysia Bastien Onn berkata pihaknya tidak pasti dengan penjajaran baharu itu.

“Saya tak tahu jajaran baru itu macam mana, kerjasama dengan DAP ke PKR ke, tak tahu.

“Tapi saya tak yakin jajaran baru kalau nak bentuk kerajaan dengan PKR dan DAP. Kita tahu Umno dan DAP berseteru sejak zaman sebelum merdeka,” katanya.

Beliau berharap Zahid dapat menjelaskan idea penjajaran baharu itu supaya ahli parti di akar umbi lebih faham.

“Beliau kena jelaskan, akar umbi kena tahu… adakah jajaran baru ini kerjasama dengan DAP dan PKR.

“Kerana kita tahu hanya ada dua rakaman audio seolah-olah nak ada kerjasama, dengan DAP dan PKR,” tambahnya.

Bastien merujuk rakaman audio perbualan telefon yang didakwa antara Zahid dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim yang muncul tidak lama selepas perhimpunan agung Umno mengesahkan tiada kerjasama politik dengan PKR, DAP dan Bersatu.

Lebih kurang dua minggu sebelum itu, satu rakaman juga terdedah didakwa suara Zahid sedang memberi taklimat kepada pemimpin Umno mengenai syarat kerjasama dengan parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH).

Perhimpunan agung sekali lagi

Seorang pemimpin Pemuda Umno cawangan yang enggan dikenali pula berkata Umno akan ada masalah sekiranya penjajaran baharu yang Zahid maksudkan ialah kerjasama dengan PKR dan DAP.

Katanya, perkara itu perlu diputuskan sekali lagi melalui perhimpunan agung Umno.

“Pada saya, habislah pemimpin Umno kalau hendak ada kerjasama dengan Anwar dan DAP. Rata-rata bahagian Umno majoriti terima tiada Anwar, tiada DAP.

“Tapi kalau pemimpin atasan yang tentukan Umno bersama Anwar dan DAP, mereka kena adakan perhimpunan agung sekali lagi. Tunggulah,” katanya.

Jelas beliau ahli Umno sudah menerima ketetapan parti bahawa tiada kerjasama dengan Anwar dan DAP, dan Umno serta Barisan Nasional (BN) akan bergerak sendiri dalam pilihan raya umum akan datang.

“Selepas menang (pilihan raya) baru bincang dengan parti lain.

“Mungkin itu penjajaran baru yang dimaksudkan. 

“Apabila sudah pilihan raya tapi tiada parti yang  dapat majoriti, antara tiga gabungan BN, PN (Perikatan Nasional), PH susah nak dapat majoriti, kemudian bentuk kerajaan dengan berpakat dengan parti lain,” katanya.

Dalam ucapan dasar presiden yang diterima Perhimpunan Agung Umno 2020 pada hujung Mac lalu, Zahid berkata sekiranya Umno dan BN perlu membentuk  kerjasama politik, rundingan dan kerjasama itu akan dibuat selepas PRU15.

Dalam wawancara bersama Umno Online awal minggu ini, Zahid mengulangi kenyataan yang sama bahawa hala tuju Umno akan ditentukan selepas pilihan raya umum akan datang.

Bastien bagaimanapun melihat ura-ura membentuk kerjasama selepas PRU15 hanya menunjukkan seolah-olah Umno tidak yakin untuk menempuh PRU15 sedangkan Umno masih lagi mahu jadi parti teras dalam politik Malaysia.

“Kalau dia kata begitu, Umno tiada keyakinan nak masuk pilihan raya muncul sebagai parti dominan. 

“Saya mahu pimpinan yang boleh janji mereka boleh kembalikan Umno sebagai parti dominan sebagai mana semasa Najib Razak menjadi perdana menteri.

“Maknanya pemimpin yang nak memimpin Umno perlu berkebolehan dan yakin sekiranya mereka memimpin Umno, mereka boleh bawa Umno dan BN seperti asal,” katanya.

Bukan kerjasama dengan seteru

Veteran Umno Shahrir Samad bagaimanapun melihat penjajaran baharu Umno bukan bermakna parti Melayu itu akan bekerjasama dengan seteru tradisinya.

Sebaliknya bekas ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata, penjajaran baharu bermakna pembaharuan dalam Umno sendiri yang membolehkan parti sentiasa segar tidak luput ditelan zaman.

Katanya, penjajaran baharu akan membolehkan Umno menang lebih selesa berbanding PRU14 terutama ketika Umno kini menguasai pentadbiran di lima negeri, mengatasi parti-parti lain.

“Ini sudah cukup kuat dan kita yakin boleh tambah kerajaan negeri lagi. 

“Pilihan raya serentak (Parlimen dan negeri) akan jadi momentum di negeri membantu BN di peringkat Parlimen… Umno akan tambah kerusi,” katanya.

Shahrir juga yakin Umno akan dapat mengharungi PRU15 dengan lebih mudah walaupun parti itu kini dilihat berpecah kerana pengundi sudah kenal belang PH yang sebenar.

“Orang sudah tahu PH boleh perintah atau tidak.

“Pengundi sudah tahu tiada parti politik boleh bohong manifesto bukan-bukan.

“Sekarang pengundi sudah faham pilihan mereka akan tentukan sama ada kerajaan itu stabil, boleh tadbir dan urus negara dengan baik atau tidak,” katanya. – 15 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen