Bekas timbalan menteri arah ubah buku teks, dakwa wartawan


Yazid Othman mendakwa individu yang menurutnya memberi arahan ubah buku teks merupakan 'timbalan menteri pendidikan PH perempuan berbangsa Cina'. – Gambar Facebook, 27 Februari, 2021.

SUKATAN satu buku teks sejarah ditukar untuk mengagung-agungkan komunisme atas arahan seorang timbalan menteri pendidikan sewaktu pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH), dakwa seorang wartawan.

Wartawan kontroversi Yazid Othman mendakwa individu yang menurutnya memberi arahan itu merupakan “timbalan menteri pendidikan PH perempuan berbangsa Cina”.

Dakwanya, maklumat itu diperolehi hasil semakannya dengan kakitangan Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Orang dalaman sendiri memberi maklumat kepada kita. Dia menerima panggilan telefon daripada timbalan menteri pendidikan PH perempuan berbangsa Cina.

“(Timbalan menteri itu mengarahkan) ‘Kamu ubah, teks buku sejarah ini dengan maklumat yang saya sedang kirim sekarang. 15 minit lagi sampai kepada kamu. Bila terima kamu terus cetak’.”

Yazid mendakwa demikian ketika ditanya Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki dalam acara bual bicara bersama pengkaji sejarah Ramlah Adam yang disiar langsung pada malam tadi.

Walau tidak menyebut nama, ia jelas merujuk kepada Teo Nie Ching, timbalan menteri pendidikan waktu itu.

Teo dilaporkan berkata beliau akan mengambil tindakan undang-undang ke atas Yazid atas tuduhan tersebut.

“Kesemua tuduhan Yazid Othman adalah tidak berasas, berniat jahat dan tidak munasabah,” katanya dalam satu kenyataan.

Bekas menteri pendidikan Maszlee Malik menafikan sukatan tersebut diubah untuk mengagung-agungkan gerakan komunis.

Beliau turut menuntut permohonan maaf dan ganti rugi dari Asyraf atas tuduhan tersebut. 

Asyraf dalam kenyataannya mendakwa, pindaan kandungan buku teks Tingkatan Empat itu salah satu usaha terancang dan sengaja dilakukan semasa pentadbiran Pakatan Harapan.

Dakwanya, kandungan dalam buku teks itu bagi menanamkan ideologi Malaysian Malaysia dalam pemikiran pelajar.

Maszlee menafikan perkara itu dan sedia menjelaskannya bersama pakar yang terlibat dengan penyediaan buku teks Kurikulum Standard Sekolah Menengah.

Beliau menggesa agar dialog bebas itu turut dihadiri Panel Pakar Rujuk Kurikulum serta wakil dari Kementerian Pendidikan Malaysia.

Sementara itu Yazid sewaktu ditanya dalam acara bual bicara disiarkan Pemuda Umno malam tadi enggan mendedahkan identiti individu yang didakwanya membocorkan maklumat tersebut.

Beliau yang yakin pendedahan itu setanding siasatan wartawan tersohor Carl Bernstein and Bob Woodward mendakwa identiti sumbernya dirahsiakan “sebab mereka dalam bahaya misalnya”.

Yazid yang merupakan bekas presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan meraih kontroversi pada 2017 ekoran penghakiman satu pertandingan esei.

Beliau yang merupakan juri pertandingan menobatkan tulisan mengenai penasihat DAP bertajuk “Kit Siang Rasis” sebagai pemenang utama.

Identiti penulis esei tersebut, yang dimasyhurkan sebagai pemenang hadiah RM10,000 bagaimanapun tidak diumumkannya.

Esei itu dilaporkan dihimpun dalam antologi “DAP Bahaya Kepada Melayu-Islam Di Malaysia”. – 27 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen