Umno Bahagian Paya Besar desak Zahid berundur


Ahmad Zahid Hamidi dilihat gagal memimpin parti hingga menyebabkan Umno hilang kepercayaan orang Melayu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Januari, 2021.

UMNO Bahagian Paya Besar menggesa presiden parti Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan kerana gagal memimpin parti ke arah lebih jelas sehingga menyebabkan krisis dalaman.

Ketua Bahagian Ahmad Tajuddin Sulaiman berkata, Zahid gagal menyelesaikan masalah dalaman parti itu sejak Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018 yang menyebabkan hilangnya kepercayaan orang Melayu.

“Tindak-tanduk ahli MKT dan ahli Parlimen yang tidak terarah mendedahkan Umno kepada kehilangan kepercayaan orang Melayu.

“Arah tuju yang tidak jelas berserta lemah ketegasan membawa kepada kesan meluntur daya juang dan kesungguhan 3.6 juta ahli Umno,” kata Ahmad Tajuddin dalam satu kenyataan dengan kepala surat bahagian itu.

Tajuddin merupakan ketua Umno Bahagian pertama menggesa Zahid melepaskan jawatan, walaupun terdapat beberapa pemimpin muda akar umbi Umno membuat gesaan serupa baru-baru ini.

Paya Besar, di Kuantan, Pahang, adalah kawasan Parlimen Mohd Shahar Abdullah yang juga kini timbalan menteri kewangan II.

Ketua bahagian Paya Besar itu menyertai beberapa kumpulan pemimpin Pemuda Umno yang tampil dengan desakan minggu lalu agar Ahmad Zahid meletak jawatan presiden parti.

Mereka membuat kenyataan terbuka mendesak Zahid berundur “secara terhormat” sewaktu ahli Parlimen Bagan Datuk itu dikritik kerana dianggap gagal membaca dan memahami sentimen di akar umbi.

Gesaan agar Zahid berundur dibuat susulan Umno berpecah tiga di antara puak yang antaranya mahu terus bersama kerajaan Perikatan Nasional.

Dua lagi kumpulan mahu menjatuhkan kerajaan dipimpin Bersatu; dan ingin bekerjasama dengan membentuk kerajaan baharu dengan DAP serta pemimpin pembangkang, Anwar Ibrahim.

Seruan seperti itu juga dibuat ketika Umno berdepan pemilihan parti tahun ini, pada tarikh yang belum ditentukan.

Perhimpunan agung tahunan parti yang dijadualkan pada 30 dan 31 Januari ditangguhkan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang pandemik Covid-19. 

– 22 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen