Buku elektronik garis 30 sebab Zahid perlu undur


Gesaan agar Ahmad Zahid Hamidi letak jawatan kini makin kuat apabila muncul buku elektronik memperkecil kewibawaannya sebagai presiden Umno. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Januari, 2021.

GESAAN agar Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan kini semakin kuat apabila muncul satu buku elektronik yang memperkecil kewibawaannya sebagai presiden Umno.

Buku berjudul 30 Dalil Mengapa Zahid Perlu Letak Jawatan Sebagai Presiden Umno tersebut antara lain membangkitkan mengenai puluhan kes mahkamah dihadapi ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

Buku itu seterusnya menyebut, kes berkenaan menjadikan Zahid satu liabiliti dan tidak layak menjadi calon perdana menteri, selain “presiden Umno paling lemah dalam sejarah”.

Penerbitan yang berlegar di media sosial itu juga menyebut, alasan Zahid berbohong kerana didapati sememangnya menarik sokongan ke atas Perikatan Nasional

Turut dibangkitkan, alasan Zahid tidak lagi mendapat sokongan lebih 60% ahli Umno dan mengkhianati parti kerana mahu bekerjasama dengan Anwar Ibrahim dan DAP.

Beliau juga dipersalahkan kerana kegagalan Umno menguasai Sabah dalam pilihan raya negeri lalu dan tindakan ahli Parlimen Umno keluar parti dan menyertai Bersatu selepas PRU14.

Penerbitan tanpa nama penulis dan penerbit itu juga membangkitkan sikap bolak-balik Zahid dalam isu pelantikan timbalan perdana menteri dan kerjasana dalam Muafakat Nasional.

The Malaysian Insight sedang mendapatkan reaksi Zahid.

Penerbitan buku elektronik 30 halaman itu timbul selepas pemimpin akar umbi menggesa beliau berundur dari jawatan presiden parti kerana melihat Umno hilang arah.

Gesaan untuk beliau meletak jawatan itu mula disuarakan sejak Jun 2018 apabila barisan wakil rakyat parti itu keluar parti untuk menyertai Bersatu.

Dua ketua pemuda bahagian dilaporkan menggesa Zahid segera bercuti.

Zahid kini berdepan 47 tuduhan di mahkamah termasuk pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram dan juga rasuah.

Kalangan pemimpin parti itu pula menuduh beliau menyokong usaha Anwar Ibrahim dengan kerjasama DAP untuk mengambil alih kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin.

Bekas setiausaha agung Barisan Nasional Annuar Musa pada bulan lalu mengesahkan satu surat ditandatangani Zahid dan Najib Razak untuk menyokong Anwar sememangnya tulen.

Menurut Annuar, surat tersebut dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan kemudian beredar di media sosial pada pertengahan Oktober. – 19 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen