KELULUSAN Belanjawan 2021 yang tipis di Dewan Rakyat hari ini tidak akan memberi banyak keyakinan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN), kata Anwar Ibrahim.
“Saat negara sedang memerlukan suatu anjakan baru tentang bagaimana harus kita bangkit dari suasana ekonomi pandemik seperti hari ini, PN telah membuktikan bahawa ia tidak berkeupayaan untuk menjalankan tanggungjawab dengan berkesan,” kata presiden PKR itu dalam satu kenyataan.
Anwar berkata pembangkang sepakat untuk membantah belanjawan tersebut kerana masih terdapat banyak perkara dan butir-butir di dalam belanjawan yang tidak dihiraukan oleh kerajaan.
Menurutnya belanjawan itu juga mempunyai banyak kelemahan, dan ini telah dibukti dan diperdebatkan secara terperinci di Dewan Rakyat oleh ahli-ahli Parlimen.
Ia turut mencerminkan betapa kerajaan PN hanya mengutamakan hayat politik mereka lebih dari kebajikan dan keterdesakan hidup rakyat.
Bagaimanapun kata ahli Parlimen Port Dickson, oleh kerana kerajaan PN telah mengaitkan kononnya gaji dan prestasi penjawat awam akan terkesan sekiranya belanjawan tidak diluluskan, maka terdapat sejumlah ahli Parlimen memilih untuk mendukung belanjawan tersebut dan sebagai solidariti ke atas jutaan penjawat awam yang turut terkesan di era ekonomi pandemik.
“Adalah dikesalkan juga tatkala terdapat beberapa orang ahli Parlimen yang telah menyatakan pandangan keras terhadap beberapa isu sebelum ini telah mengundi untuk menyokong belanjawan tersebut,” katanya.
Anwar berkata kerajaan PN akan terus menggunakan pengaruh politiknya untuk kekal berkuasa dan kebajikan rakyat akan terus dikorbankan.
Negara juga katanya sedang kembali ke era gelap di mana kerajaan akan terus menginjak prinsip ketelusan, tatakelola yang baik dan pengurusan dana yang cekap.
Menurutnya ia boleh dilihat menerusi penurunan penarafan Malaysia oleh Fitch Ratings baru-baru ini juga menunjukkan betapa lemahnya prestasi pengurusan ekonomi negara.
Belanjawan 2021 diluluskan di Dewan Rakyat hari ini dengan 111 ahli Parlimen menyokong cadangan kerajaan melalui undian belah bahagi selepas ia dikemukakan untuk bacaan kali ketiga di Dewan Rakyat.
Sejumlah 108 ahli Parlimen menolaknya, dengan seorang ahli Parlimen pula tidak hadir.
Belanjawan Perikatan Nasional berjumlah RM322.5 bilion – yang dibuat ketika krisis ekonomi dan kesihatan – merupakan belanjawan terbesar yang pernah dibentangkan. – 15 Disember, 2020.
Komen