Bersatu akan hancur kerana kerjasama dengan pencuri, kata Dr Mahathir


Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Bersatu akan hancur apabila parti itu menerima presiden parti Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri atas sokongan pencuri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Jun, 2020.

BERSATU akan hancur apabila parti itu menerima presiden parti, Muhyiddin Yassin yang menjadi perdana menteri atas sokongan pencuri, kata Dr Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri itu berkata demikian ketika mengingatkan ahli parti mengenai ikrar Bersatu untuk menjatuhkan Najib Razak dalam pilihan raya umum lalu, yang digelarnya pemimpin kloptokrat.

Bagaimanapun usaha itu juga akan hancur kerana Muhyiddin kini menjadi perdana menteri hasil sokongan golongan pencuri tersebut, katanya.

“Apabila menang presiden parti Bersatu rancang bersama parti yang kalah untuk keluar dari kerajaan Pakatan Harapan supaya jatuhlah kerajaan Pakatan Harapan.

“Dengan sokongan pemimpin pencuri, presiden Bersatu menjadi perdana menteri gabungan bersama parti yang kalah yang diberi nama Perikatan Nasional,” katanya.

Katanya, Bersatu akan hancur kerana mengabaikan janji kepada pengundi sewaktu berusaha menjatuhkan pemimpin kleptokrat tersebut.

“Sekarang sudah dapat (undi) lupakan sahaja. Dengan ini Bersatu akan hancur,” katanya yang menambah pengundi tidak lagi akan percaya kepada parti tersebut di masa hadapan.

Dr Mahathir seterusnya mempersoalkan sekiranya pemimpin lain dalam Bersatu dapat menerima tindakan itu.

“Apakah mereka sanggup menerima pencuri sebagai pemimpin? Okaylah – asal dapat nikmat.

“Apa jadi kepada ikrar dahulu untuk lawan dan jatuhkan pemimpin kleptokrat? Yang digelarkan sebagai pemimpin kleptokrat,” katanya.

Kenyataan itu timbul susulan desas-desus mengenai peralihan sokongan di kalangan beberapa ahli Deran Rakyat yang didakwa menyebabkan Muhyiddin kini tidak mendapat majoriti di Parlimen.

Peralihan sokongan itu dikaitkan dengan pelucutan jawatan Dr Mahathir dan empat lagi ahli Parlimen yang juga pemimpin kanan Bersatu. – 1 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen