Tempat tinggal sesak punca warga asing berisiko tinggi, kata Dr Noor Hisham


Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata sebanyak lebih 24,000 ujian dijalankan ke atas kumpulan warga asing setakat ini dan 1,132 positif dan daripada jumlah itu seramai 487 masih menjalani rawatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Mei, 2020.

KEADAAN tempat tinggal sesak antara sebab pekerja warga asing menjadi kumpulan berisiko tinggi dijangkiti Covid-19 dan menjadi tumpuan pengesanan kes, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua pengarah kesihatan berkata, siasatan di kawasan tumpuan melalui Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sebelum ini mendapati ada pekerja tinggal 30 orang serumah.

“Di Selangor Mansion, Malayan Mansion dan Menara Plaza City One contohnya, satu apartmen ada 30 orang. Pekerja pembinaan pula ada yang tinggal 15 orang dalam satu apartmen,” katanya.

Keadaan sesak itu meningkatkan lagi risiko jangkitan, terutama kerana tiada penjarakan sosial selamat.

Keadaan serupa dikesan melibatkan kluster baharu melibatkan pekerja pembinaan di Setia Alam di Klang, bagaimanapun jangkitan tersebut terkawal, kata Dr Noor Hisham.

“Tiada tambahan kes di situ, sebanyak 12 kes. Kita masih jalankan acute case detection dan kita rasa 12 kes masih terkawal, mungkin tidak perlu guna pendekatan PKPD,” katanya.

Tambahnya sebanyak lebih 24,000 ujian dijalankan ke atas kumpulan warga asing setakat ini dan 1,132 positif dan daripada jumlah itu seramai 487 masih menjalani rawatan.

Seramai tiga orang masih di unit rawatan rapi, 641 sudah sembuh dan empat terkorban, kata Dr Noor Hisham.

Katanya lagi, saringan dan ujian masih dijalankan terutama di kawasan PKPD seperti di kawasan terbaru sekitar pasar Jalan Othman di Petaling Jaya yang dianggar melibatkan 2,900 orang.

Dua lagi kawasan sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur juga yang masih diletakkan bawah PKPD.

Beliau juga mengumumkan, 49 daripada 67 kes baharu hari ini dikesan daripada warga asing.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan 6,656 kes setakat ini. – 10 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen