PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) wajar diteruskan untuk memastikan kadar jangkitan Covid-19 terkawal, kata Dr Noor Hisham Abdullah.
Ketua pengarah kesihatan berkata, itu merupakan saranan mereka kepada perdana menteri walau pemerhatian setakat ini menunjukkan kes di Malaysia stabil dan tiada peningkatan mendadak.
“Jangkaan kita menunjukkan trend kita stabil pada masa ini dan kita tidak melihat peningkatan mendadak. Dan kita juga mungkin sudah lepasi kemuncak pada minggu lalu,” katanya.
Tambahnya, perkembangan itu memberi petanda baik namun PKP masih perlu diteruskan untuk memastikan kadar jangkitan itu terkawal, katanya.
Beliau menjelaskan, sebelum PKP dikuatkuasa, virus itu mampu menjangkiti lebih tiga orang pada satu masa dan kini berjaya diturunkan kepada hanya seorang.
Seterusnya, beliau menjangka kadar itu turun kepada kurang dari seorang dengan lanjutan PKP.
“Apabila kurang daripada satu orang dijangkiti, bermakna kita berjaya kawal kadar jangkitan Covid-19 ini,” katanya dalam sidang media disiarkan langsung.
Beliau juga jelaskan, jangkaan Kementerian Kesihatan mengenai kadar jangkitan Covid-19 di Malaysia berbeza dengan badan kajian seperti firma JP Morgan dan Malaysia Institute of Economic Research.
Katanya, jangkaan kementerian berdasarkan data semasa dan jangkaan dua firma tersebut, yang meramalkan jangkitan memuncak pada pertengahan April berdasarkan anggapan dan data negara lain.
Beliau hari ini mengumumkan 222 pesakit sembuh dalam tempoh 24 jam lepas berbanding 118 kes baharu dilaporkan.
Data terbaru itu membawa kepada jumlah kes pulih kepada 1,830 orang. 118 kes jangkitan baharu pula menaikkan jumlah keseluruhan kes kepada 4,346.
Seramai tiga pesakit juga terkorban menjadikan jumlah 70 orang maut akibat Covid-19 di negara ini.
Terdahulu hari ini, Perdana Menteri MuhyiddinYassin mengumumkan lanjutan PKP ke peringkat ketiga dari 14 hingga 28 April. – 10 April, 2020.
Komen