Sistem wakaf cara terbaik bangun Kampong Bharu, kata Pewaris


Mohd Farhan Darwis

Pemilik dan waris tanah di Kampong Bharu yang bersetuju dan menyertai sistem wakaf akan menerima harga lebih tinggi berbanding tawaran kerajaan sebelum ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Mac, 2020.

KUMPULAN pemilik dan pewaris tanah Kampong Bharu kini melihat kepada sistem wakaf sebagai jalan terbaik untuk membangunkan tanah warisan di segitiga emas Kuala Lumpur itu.

Pertubuhan Pemilik Tanah dan Waris Tanah Kampung Bharu (Pewaris) percaya langkah itu paling baik kerana bebas daripada belenggu dan ketidaktentuan politik mahupun pertukaran kerajaan.

Setiausahanya Pewaris Zainudin Ismail memberitahu The Malaysian Insight, mereka tidak perlu lagi bimbang hilang hak pemilikan tanah kerana lot tersebut akan dijaga oleh pemegang amanah tunggal.

Katanya, Pewaris juga sudah menyatakan hasrat bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan menggunakan dana wakaf agensi terbabit bagi tujuan tersebut.

“(Jika) berlaku pertukaran kerajaan macam mana sekali pun, sistem wakaf ini tidak terjejas, ia terus kepada Tuhan, ibaratnya, tapi diuruskan manusia,” kata Zainudin kepada The Malaysia Insight.

Jelasnya, kaedah pembiayaan melalui wakaf untuk membangunkan tanah tersebut juga kurang berisiko berbanding pinjaman daripada institusi kewangan kerana tidak melibatkan faedah.

Melalui sistem itu, pemilik tanah hanya perlu menyerahkan geran mereka kepada MAIWP, dan agensi berkenaan akan mengeluarkan sijil wakaf kepada pemilik dan pewaris tanah.

“Syarat wakaf adalah sesuatu yang kekal, tanah, bangunan, atau sebagainya dan tidak boleh dijual.

“Pemilik tanah juga boleh letak tempoh berapa lama mereka nak wakafkan tanah, 30 tahun, selama-selamanya, pun boleh,” kata Zainudin.

Di samping itu, pemilik tanah yang bersetuju dan menyertai sistem tersebut juga akan menerima harga yang jauh lebih tinggi berbanding tawaran kerajaan sebelum ini, tambahnya.

“Tawaran kita RM1,250 sekaki persegi, tawaran (bekas menteri Wilayah Persekutuan) Khalid (Samad) hanya RM1,000,” katanya, merujuk tawaran terakhir yang diumumkan kerajaan lalu.

Beliau percaya langkah itu akan berjaya dengan sokongan daripada pemilik lebih 225 lot tanah di kawasan tersebut.

“Sekarang persatuan ada 15 parcel tanah, dengan setiap parcel mengandungi antara 15 hingga 20 lot tanah yang mana pemiliknya sudah menyatakan persetujuan untuk bersama kami menjayakannya,” kata Zainudin.

Melalui rancangan itu, pemilik akan memperolehi bayaran tunai, unit dan juga saham dalam syarikat yang akan diwujudkan bagi membangunkan tanah tersebut.

“Selain bayaran secara tunai, melalui hasil bayaran tanah, pemilik juga akan disediakan deposit untuk membeli unit kediaman yang didirikan di atas tanah mereka, selain saham dalam syarikat bersama yang diwujudkan pemilik-pemilik dalam parcel berkenaan.

“Jadi unit kediaman itu mereka boleh jual kepada waris dan mereka miliki, kemudian waris dan keturunan mereka boleh menetap di Kampong Bharu, tanpa perlu keluar dari bandar Kuala Lumpur.

“Pemilik sediakan tanah, MAIWP sediakan modal, dan keuntungan yang diperolehi daripada pembangunan akan dikongsi bersama, ikutlah macam mana nanti pembahagiannya,” tambahnya.

Pihaknya juga mencadangkan satu tabung wakaf khas untuk pembangunan Kampong Bharu diwujudkan, untuk tujuan itu.

Syarikat yang dibangunkan pemilik tanah secara bersama itu juga kelak bertanggungjawab menyelia dan menyelenggara bangunan yang dibangunkan atas tanah mereka.

“Hasil keuntungan syarikat itu kita akan kembalikan kepada tabung wakaf, dan gunakan untuk bangunkan parcel lain. Dengan sistem wakaf, dana bukan lagi masalah bagi kami,” kata Zainudin.

Tambahya, Pewaris sudah menyerahkan cadangan berkenaan kepada Mufti Wilayah Persekutuan Zulkifli Mohamad Al Bakri, dan mengatur pertemuan untuk bertemu dengan beliau.

“Selepas hasil pertemuan, kita akan minta beliau sampaikam kepada Yang di-Pertuan Agong, dan Pewaris bersama MAIWP akan jalankan jelajah penerangan kepada pemilik,” kata Zainudin, lagi.

Setiausaha Pewaris Zainudin Ismail berkata pemilik tanah Kampong Bharu tidak perlu lagi bimbang hilang hak pemilikan tanah kerana ia akan dijaga oleh pemegang amanah tunggal. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Mac, 2020.

Zulkifli kini dilantik sebagai menteri hal ehwal agama Islam, dalam Kabinet baharu Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Rancangan pembangunan melalui sistem wakaf itu antara cadangan penyelesaian untuk pembangunan semula Kampong Bharu yang menemui jalan buntu sejak sekian lama.

Kumpulan Pewaris antara pihak yang membantah rancangan kerajaan Pakatan Harapan kerana kesemua pilihan yang ditawarkan kerajaan waktu itu menyebabkan mereka hilang hak ke atas tanah.

Terbaharu, sewaktu pentadbiran Khalid, kerajaan menawarkan bayaran tunai RM850 kaki persegi dan RM150 dalam bentuk saham.

Menurut ahli Parlimen Shah Alam itu, 60% daripada 5,374 pemilik tanah sudahpun bersetuju untuk menjual tanah mereka, hasil pertemuan dengan Perbadanan Pembangunan Kampong Baru (PKB).

Pewaris tetap tidak bersetuju dengan cadangan itu dan bergerak bersama Pertubuhan Profesional Tanah Malaysia (Pertama), bagi menjayakan sistem wakaf untuk pembangunan tersebut.

Presiden Pertama, Ismail Omar memberitahu The Malaysian Insight, melalui sistem itu, risiko pemilikan juga sangat minimum.

Pensyarah kanan di Jabatan Pengurusan Harta Tanah di Universiti Tun Hussein Onn itu juga berkata ia memberi jaminan harta berkenaan terus diwarisi keluarga.

“Risiko tetap ada sebab nilai pada masa hadapan tiada siapa yang tahu, tetapi risiko dari segi pemilikan tidak ada, wakaf ini tanah Allah.

“Risiko pembangunan dan sebagainya kita ada cara untuk tangani, ringkasnya risiko minimum, yang penting pulangan kepada pewakaf dan anak cucu tiga keturunan hingga hari kiamat,” katanya. – 13 Mac, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen