Afif Bahardin dijangka letak jawatan exco Pulau Pinang, kata sumber


Zaim Ibrahim

Exco Kesihatan Pulau Pinang Dr Afif Bahardin diarahkan letak jawatan oleh Ketua Menteri Chow Kon Yeow, kata sumber. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Mac, 2020.

EXCO Kesihatan Pulau Pinang Dr Afif Bahardin dijangka mengumumkan peletakan jawatan sebagai exco kerajaan negeri dalam masa yang terdekat, seawal petang ini, kata beberapa sumber.

Sumber bagaimanapun memberitahu The Malaysian Insight, Dr Afif – yang diketahui menyokong bekas timbalan presiden Mohamed Azmin Ali – diarahkan letak jawatan oleh Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Arahan itu dikatakan timbul daripada desakan pimpinan PKR di Kuala Lumpur, kata seorang sumber.

Dr Afif yang dihubungi oleh The Malaysian Insight enggan memberi sebarang maklum balas.

Pegawainya juga tidak dapat memastikan bila pengumuman rasmi akan dibuat.

Sementara itu, wartawan di Pulau Pinang menerima jemputan untuk membuat liputan perhimpunan solidari bersama Dr Afif di kediamannya pukul 3.30 petang ini.

Chow pula dijadual mengadakan satu sidang media tengah hari ini.

Pada 20 Februari lalu, lembaga disiplin PKR mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Dr Afif atas dakwaan melakukan sabotaj dengan terlibat dalam kekacauan semasa Kongres Pemuda PKR di Melaka pada Disember lalu.

Dalam reaksinya, bekas timbalan ketua Pemuda PKR itu menegaskan komited pada perjuangan parti dan menyerahkan kepada lembaga disiplin untuk menentukan kedudukannya.

Pada Ahad lalu, Dr Afif adalah antara penyokong Azmin yang dilemparkan dengan caci maki di luar ibu pejabat parti, sehari selepas sah pentadbiran Pakatan Harapan digantikan oleh gabungan baharu yang diketuai Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Beliau bersama Naib Presiden Tian Chua dan ahli Majlis Pimpinan Pusat Amirudin Shari, yang juga menteri besar Selangor, dimaki dengan kata-kata kesat antaranya “pengkhianat” dan “anjing”.

Mereka berada di ibu pejabat PKR untuk mesyuarat pimpinan parti.

Selepas mesyuarat itu, Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata penyokong Azmin yang masih dalam parti kesal dengan peralihan kerajaan yang berlaku dan berkata mereka tidak tahu mengenai perbincangan untuk membentuk kerajaan bersama Umno dan PAS.

“Mereka sendiri rasa dikhianati. Saya sudah ingatkan mereka berapa lama dulu. Ia sudah dirancang selama berbulan… Penyokong (Azmin) tak bersalah,” katanya.

Dalam pemilihan parti pada hujung 2018, Dr Afif kalah kepada Akmal Nasir untuk jawatan ketua pemuda. – 4 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • We do not want any traitor in PKR

    Dimuat naik 4 tahun yang lalu oleh Azman Daud · Ulasan