Saya bersedia berdepan undang-undang, kata Salahuddin


Sheridan Mahavera

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata beliau mengikut prosedur ditetapkan semasa menulis surat kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bagi meminta kontrak RM1.4 bilion diberikan kepada Nafas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 November, 2019.

SALAHUDDIN Ayob bersedia berdepan undang-undang sekiranya beliau didapati bersalah berhubung rundingan terus bagi kontrak projek kepada kumpulan petani yang dikawal kerajaan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu berkata beliau ada mengikut semua prosedur dan peraturan semasa menulis surat kepada perdana menteri bagi meminta kontrak RM1.4 bilion diberikan kepada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas).

“Sehingga hari ini proses tender terbuka belum dimuktamadkan. Tiada satu syarikat telah menerima kontrak. Apa yang saya lakukan adalah mengikut prosedur dan undang-undang,” katanya kepada Dewan Rakyat hari ini.

“Prosedur tender menunjukkan kuasa untuk memberi tender adalah di tangan Kementerian Kewangan. Jika saya melanggar undang-undang, biar undang-undang yang menentukan,” katanya ketika menjawab soalan Siti Zailah Mohd Yusoff.

Salahuddin dikritik pembangkang kerana menulis surat berhubung rundingan terus bagi kontrak projek Nafas kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Ya betul saya menulis surat kepada perdana menteri. Saya menulis kerana bertanggungjawab untuk berbuat demikian,” katanya.

Beliau berkata sesiapa sahaja boleh membida kontrak itu selagi tender terbuka.

“Itu prosesnya. Selagi proses tender belum selesai, sesiapa boleh datang dan berjumpa saya,” katanya pada Jumaat lepas.

Wee Ka Siong (Ayer Hitam-BN) menuduh kementerian cuba memberi kontrak melalui rundingan langsung dan bukan tender terbuka.

Beliau berkata Salahuddin telah melanggar dasar Pakatan Harapan untuk melaksanakan tender terbuka bagi semua bentuk perolehan kerajaan.

Wee menambah proses tender ditutup dan kontrak telah diberikan apabila Salahuddin menulis surat kepada perdana menteri.

“Akibatnya kontrak awal yang diberikan kepada syarikat swasta dibatalkan,” katanya. – 26 November, 2019.

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen