Azmin enggan ulas dakwaan tak dijemput rasmi kongres sayap PKR


Diyana Ibrahim Chan Kok Leong

Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali didakwa kerap membuat kenyataan membelakangkan parti.– Gambar fail The Malaysian Insight, 4 November, 2019.

MOHAMED Azmin Ali enggan mengulas kemungkinan PKR tidak menjemputnya merasmikan persidangan tahunan sayap Pemuda dan Wanita semasa kongres nasional parti pada Disember.

Ketika ditanya, timbalan presiden PKR itu berkata persoalan berkenaan sepatutnya diajukan kepada setiausaha agung, Saifuddin Nasution.

“Itu kena tanya setiausaha (Saifuddin),” katanya kepada wakil media di lobi Parlimen.

The Malaysian Insight minggu lalu melaporkan, Pemuda PKR berhasrat untuk menjemput bekas presiden Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang juga timbalan perdana menteri merasmikan kongresnya.

Keputusan itu didakwa bertujuan “menghantar mesej kepada Azmin” yang didakwa kerap membuat kenyataan membelakangkan parti.

Azmin meraih kontroversi kerana mencadangkan agar Dr Mahathir Mohamad kekal sebagai perdana menteri sehingga habis mandat penggal pentadbiran.

Saranan itu bertentangan dengan pelan peralihan kuasa untuk Presiden PKR Anwar Ibrahim mengambil alih dalam masa dua tahun. – 4 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen