POLIS hari ini memanggil beberapa individu untuk membantu siasatan berhubung dakwaan bacaan doa Kristian di sebuah sekolah mubaligh di Georgetown, Pulau Pinang.
Antara yang dipanggil ialah pengadu yang membuat laporan polis dan mereka yang terlibat dalam majlis anugerah cemerlang di SK Perempuan Methodist pada Jumaat lalu, kata Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang.
“Polis membuka siasatan berhubung kes itu.
“Saksi yang terbabit dipanggil iaitu individu membuat laporan polis dan individu terlibat (dalam majlis anugerah cemerlang).
“Individu daripada pihak sekolah turut dipanggil untuk bantu siasatan,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.
Che Zamani berkata siasatan dibuat mengikut Kanun Keseksaan namun enggan mendedahkan butiran lanjut.
Beliau juga enggan memberitahu bilangan serta identiti mereka yang dipanggil untuk diambil keterangan.
“Saya tidak mahu hebahkan perkara ini. Ia akan menyebabkan perkara lebih teruk daripada elok.
“Ia mungkin akan bangkitkan kemarahan sebelah pihak lagi,” jelasnya.
Jumaat lalu, seorang aktivis politik, Muhsin Abdul Latheef, 35, membuat laporan polis ke atas pentadbiran SK Perempuan Methodist kerana mengadakan bacaan doa Kristian dalam majlis anugerah kecemerlangan murid.
Beliau mendakwa doa itu sebagai usaha berdakwah kepada orang Islam, yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Kelmarin, Ketua Pengarah Pelajaran Amin Senin memberi peringatan tegas kepada pihak pengurusan sekolah kerana melanggar peraturan yang ditetapkan kementerian.
Katanya, apa yang berlaku di SK Perempuan Methodist itu melanggar garis panduan berhubung pengurusan acara serta sambutan untuk bahagian atau jabatan institusi di bawah kementerian, yang dikeluarkan pada 2016.
Garis panduan pada 2016 itu adalah lanjutan daripada surat pekeliling atas isu sama yang pernah dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Pelajaran pada 1977, berhubung bacaan doa Kristian semasa perhimpunan sekolah.
Surat pekeliling pada 1977 itu menetapkan agar sekolah mubaligh mengatur perhimpunan sekolah supaya bacaan doa Kristian dibuat dengan hanya disertai oleh pelajar dan guru beragama Kristian. – 1 Oktober, 2019.
Komen