Projek PSR tambah derita kami, kata nelayan Pulau Pinang


Nelayan membuat bantahan di luar Parlimen pada 11 Julai lalu. Mereka berkata projek PSR menjejaskan kehidupan dan sumber pendapatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Ogos, 2019.

PERSATUAN Nelayan Pulau Pinang sekian lama menderita akibat pelbagai projek tebus guna dan tambakan di negeri itu pada masa lalu, dan projek seterusnya untuk membina tiga pulau buatan manusia akan memburukan lagi keadaan, kata kumpulan itu hari ini.

Dalam satu surat yang dikemukakan kepada gabenor negeri Abdul Rahman Abbas pagi ini, pengerusi persatuan Nazir Ahmad berkata pampasan dan jeti alternatif yang dijanjikan kepada nelayan daripada beberapa projek sebelumnya tidak dibayar sepenuhnya atau dibina langsung.

Projek sebelumnya melibatkan lebih 400 hektar tanah yang ditebus guna dan menyebabkan jeti lama di kawasan lama dipindahkan.

“Laut yang menjadi tempat kami menangkap ikan juga menjadi lebih sempit dan tercemar, kami hilang akses kepada kawasan menangkap ikan dan pendapatan menurun,” katanya dalam surat yang dihantar ke kediaman rasmi gabenor.

Surat itu menggesa gabenor Pulau Pinang menggunakan kuasanya untuk membatalkan projek tambakan laut di selatan Pulau Pinang (PSR) yang akan membina tiga pulau buatan manusia, meliputi kawasan lebih 1,800 hektar. Tanah yang ditebus akan dijual untuk membiayai Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bernilai RM46 bilion.

“Kami menggesa gabenor membatalkan PSR dan mencari jalan lain untuk membiayai PTMP,” kata Nazir dalam surat tersebut.

“Kita tidak boleh diam lagi. Kami diberikan janji palsu dalam beberapa projek sebelum ini.

“Kenyataannya adalah nelayan menjadi mangsa pembangunan. Secara objektifnya, kesan kerosakkan kerja tebus guna dan penambakan terhadap alam sekitar dan perikanan, tidak boleh dinafikan lagi,” tambahnya.

Nazir berkata PSR akan menjejaskan kawasan tangkapan ikan yang “terbaik dan paling produktif” di Pulau Pinang, yang juga merupakan tempat pembiakan utama bagi udang.

“Saiz PSR akan menyebabkan kemusnahan hidup marin di sini dan juga menjejaskan ternakan akuakultur laut di Pulau Betong, Batu Maung dan Sungai Udang,” katanya. – 16 Ogos, 2019.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen