Aktivis reformasi mula desak Azmin dipecat


Presiden PKR Anwar Ibrahim perlu memecat timbalan presidennya, Azmin Ali kerana membelakangkan parti melalui kenyataan terbaharu menyokong Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri sehingga habis penggal, kata NGO Reformis 98. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Julai, 2019.

AKTIVIS Reformis 98 tampil sebagai kumpulan pertama yang mendesak agar Azmin Ali disingkirkan kerana mendakwa tindak-tanduk timbalan presiden PKR itu tidak lagi dapat dimaafkan.

Wakil NGO itu, Zulkefly Othman berkata Azmin membelakangkan parti melalui kenyataan terbaharu menyokong Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri sehingga habis penggal.

Katanya, Presiden PKR Anwar Ibrahim perlu memecat Azmin kerana kenyataan itu jelas tidak menghormati dan memberi imej buruk pada parti.

“Anwar Ibrahim mempunyai kuasa ketua eksekutif parti dalam memecat mana-mana ahli dan pemimpin PKR yang mencemar dan merosakkan imej parti di mata masyarakat,” katanya.

Tindakan pemecatan itu juga boleh dilakukan Biro Politik PKR atas sebab sama, katanya.

“Tingkah laku peribadi dan politik beliau yang membelakangi presiden serta mencemarkan parti dan mengugat kesatuan di dalam PH tidak boleh dimaafkan,” katanya.

Tambahnya, Azmin juga tidak menghormati parti kerana tidak menjalankan mandat sebagai timbalan presiden apabila tidak hadir ke mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR. 

“Tetapi pada masa yang sama tidak pernah menguzurkan diri beliau dalam mesyuarat yang diadakan oleh majlis Presiden PH. 

“Tindakan beliau untuk tidak hadir ke mesyuarat MPP tiga kali berturut-turut adalah satu manifestasi bahawa beliau lagi tidak menghormati ketua parti iaitu (Anwar Ibrahim).

“... Pada masa yang sama (ia) menunjukkan sikap beliau yang sudah tidak mempunyai minat dan semangat untuk terus mengemudi parti bersama dengan presiden PKR,” kata Zulkefly.

Azmin dilaporkan tidak hadir ke mesyuarat MPP sejak selepas pemilihan parti yang berlangsung Disember lalu.

Seterusnya, Zulkely membangkitkan isu video seks mengaitkan Azmin, yang menurutnya memberi imej negatif kepada parti.

Biro Politik PKR juga boleh mendesak Timbalan Presiden Azmin Ali membuat laporan polis dan menyaman Haziq Abdullah Abdul Aziz untuk membersihkan nama, kata Reformis 98. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Julai, 2019.

Katanya, tindakan Azmin mendukacitakan kerana tidak membuat laporan polis ke atas individu yang membuat tuduhan seks tersebut, Haziq Abdullah Abdul Aziz, untuk membersihkan nama.

“Jika beliau tidak bersalah, beliau sepatutnya tambil ke hadapan dan membersihkan diri beliau. 

“Jangan biarkan fitnah ke atas beliau tidak ditangani takut ia akan menjadi sesuatu fakta kekal di minda rakyat untuk selama-lamanya,” kata beliau.

Dalam hal itu, Biro Disiplin boleh mengemukakan surat untuk memaksa Azmin menjelaskan sebab beliau tidak harus dipecat apabila masih tidak membuat laporan polis dan menyaman Haziq.

Biro Politik juga boleh mendesak Azmin membuat laporan polis dan menyaman Haziq serta memaksa timbalan presiden PKR itu meletak jawatan sebagai menteri hal ehwal ekonomi.

Katanya, peletakan jawatan itu bagi membolehkan siasatan telus dapat dijalankan tanpa campurtangan pihak berkuasa. 

Haziq mendakwa beliau merupakan individu dalam video seks yang tersebar sejak Mei lalu dan menuduh Azmin sebagai seorang lagi pelaku dalam rakaman tersebut.

Tuduhan itu dinafikan Azmin yang menyifatkannya sebagai usaha untuk memusnahkan kerjaya politiknya. – 30 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen