Peneroka Felda taruh harapan pada pelan Azmin


Chan Kok Leong

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali (kanan) memegang Kertas Putih Felda sementara Pengerusi Felda Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor di sebelahnya, ketika pembentangan di Parlimen pada 10 April. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 April, 2019.

SELEPAS dilanda pelbagai skandal dan salah pengurusan dalam Felda, peneroka optimistik tetapi berhati-hati terhadap satu lagi pelan untuk menyelamatkan institusi itu.

“Lega rasanya bila kerajaan baharu berjanji menyerap kadar faedah pinjaman kami dan mula membayar elaun sara hidup tepat pada masanya,” kata Amran Shukor, 59, yang berhutang RM19,000 dengan Felda untuk program penanaman semula kelapa sawit.

“Tetapi apa yang lebih penting ialah kita perlu lihat bagaimana mereka menguruskan agensi itu,” kata peneroka Palong 9 itu.

Palong 9 ialah salah satu daripada 16 penempatan di Wilayah Raja Alias, Negeri Sembilan. Setiap penempatan dihuni sekitar 150 keluarga peneroka.

Peneroka yang membenarkan Felda atau syarikat operasinya Felda Technoplant Sdn Bhd menguruskan tanah mereka memperoleh hasil lebih rendah berbanding mereka yang menguruskan tanah sendiri, kata peneroka generasi kedua.

“Pasukan baharu Felda perlu memastikan mereka menyediakan kepakaran dan penyelia lebih baik di Technoplant,” kata Amran selepas menghadiri program Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali di Palong 9.

Azmin kini dalam jelajah ke 11 wilayah Felda untuk memberi penjelasan tentang Kertas Putih Felda yang dibentangkan di Parlimen.

Walaupun kertas cadangan kerajaan itu dibentangkan pada 10 April, ramai peneroka yang masih tidak pasti tentang kesan dan perancangan yang dibuat untuk Felda itu.

Sebahagian peneroka Felda bergambar bersama selepas program penerangan tentang Kertas Putih Felda di Palong 9, Negeri Sembilan. – Gambar The Malaysian Insight, 23 April, 2019.

Kerajaan memperuntukkan RM6.23 bilion untuk menyerap semua kos faedah pinjaman peneroka (RM2 bilion), menyiapkan projek perumahan yang terbengkalai untuk peneroka (RM250 juta), penanaman semula (RM1 bilion), elaun sara hidup (RM480 juta) dan penstrukturan semula pinjaman (RM2.5 bilion).

Omar Jonit, 60, yang tiba lewat pada program Azmin, hanya sempat mendengar bahagian terakhir ucapan menteri itu.

“Baguslah mereka janji bayar elaun ikut masa. Sepanjang beberapa bulan lalu, kami dapat lambat. Tetapi saya masih tidak pasti adakah RM1,500 sebulan yang disebutnya itu diguna pakai pada saya juga,” kata Omar yang menoreh getah di 10 ekar tanahnya.

Walaupun Kertas Putih itu sudah dibentangkan di Parlimen, Omar berkata beliau tidak tahu apa isi kandungannya dan datang ke situ untuk mendengar penjelasan Azmin.

Omar yang pindah ke situ sebagai peneroka tambahan berkata kerajaan terdahulu lebih popular kerana mereka beri bonus setiap tahun.

“Setiap peneroka dapat RM15,000 dan isteri serta anak pun dapat bonus. Mereka juga beri duit raya. Jadi sudah tentu mereka popular.

“Tetapi kami tidak tahu yang pada masa itu mereka meminjam duit untuk bayar semua bonus ini. Ini sesuatu yang akhirnya kami perlu bayar akhirnya,” katanya yang berasal dari Melaka.

Omar berkata walaupun Barisan Nasional popular kerana bayaran bonus itu, tidak adil untuk membandingkan mereka dengan Pakatan Harapan.

“Satu baru mentadbir 11 bulan sementara satu lagi sudah berkuasa selama 61 tahun. Jadi kita perlu beri mereka masa,” kata peneroka Palong 12 itu.

“Perkara baik tentang kerajaan ini ialah mereka sudah mula menahan sesiapa yang rasuah,” kata Omar.

Bagi acara “Program Rapat Peneroka Felda” itu, khemah dipasang di depan Masjid Nurul Iman di Palong 9. Beberapa bas digunakan untuk membawa peneroka dari penempatan lain ke Palong 9.

Papan iklan besar dengan maklumat tentang Kertas Putih Felda dipasang di kawasan penempatan itu.

Aishah Ramli, 65, dari Palong 8 berkata keadaan itu mengingatkannya pada kerajaan terdahulu.

“Sama macam dulu-dulu,” katanya.

Tetapi sama seperti peneroka lain, Aishah optimistik tentang pengumuman Azmin itu, yang lebih kurang sama dengan ucapannya di Parlimen.

“Saya hanya harap mereka dapat menaikkan harga minyak sawit dan getah,” katanya. – 23 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen