DAP soal Hadi, betul PAS terima RM90 juta?


Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng turut mempersoalkan ke mana wang yang dikutip untuk kos saman berkenaan disalurkan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Februari, 2019

AHLI Parlimen DAP Lim Lip Eng hari ini mempersoalkan mengapa Presiden PAS Abdul Hadi Awang membelanjakan lebih RM2.5 juta kos guaman dalam saman fitnahnya terhadap Sarawak Report, sedangkan pemimpin parti Islam itu setuju untuk selesaikan di luar mahkamah.

Ahli Parlimen Kepong itu berkata, apa yang lebih meragukan adalah tarikh perbicaraan di mahkamah London hanya tiga bulan lagi iaitu pada April.

Beliau berkata demikian susulan tindakan Hadi untuk menyelesaikan saman fitnahnya terhadap Sarawak Report.

PAS memfailkan saman di UK berhubung artikel di laman web berkenaan yang menuduh PAS menerima RM90 juta daripada bekas perdana menteri Najib Razak, sebagai cubaan untuk menarik sokongan parti Islam itu menjelang pilihan raya umum lalu.

Selain kedua-dua pihak bersetuju untuk menarik balik tuntutan dan tiada perintah dibuat mengenai kos, syarat lain penyelesaian itu dibuat secara rahsia.

Malah, artikel berkenaan masih kekal di laman web Sarawak Report, tanpa sebarang perubahan dan tidak ditarik balik, kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

“Tidak masuk akal, terutamanya mengenai tuntutan berhubung dakwaan partinya menerima RM90 juta daripada bekas perdana menteri.

“Adakah tuduhan dalam artikel berkenaan benar?”

Lim berkata, beliau juga tertanya-tanya sekiranya Hadi dan pemimpin PAS berani untuk memberikan jawapan “ya” atau “tidak” berhubung soalannya.

Beliau berkata, rakyat dan pengundi di negeri yang diterajui PAS, Kelantan dan Terengganu, ahlinya, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pasti akan berminat untuk mengetahui jawapan.

Ahli Parlimen DAP itu berkata, beliau ingin mengetahui apa yang berlaku kepada RM400,000 yang dikutip melalui crowdfunding bulan lalu bagi membiaya kos saman berkenaan.

“Adakah PAS berjaya mengutip keseluruhan jumlah itu?

Lim turut bertanya kepada Hadi sama ada beliau akan mendermakan wang yang dikumpul, sekiranya dikutip, kepada golongan yang memerlukan di Kelantan dan Terengganu.

“Secara moralnya, tidak baik untuk parti menyimpan duit itu untuk mereka sendiri.”

Semalam, Hadi menawarkan untuk menyelesaikan saman fitnah terhadap Sarawak Report dengan syarat penyelesaian yang tidak didedahkan.

Hadi membuat keputusan untuk memuktamadkan penyelesaian luar mahkamah melalui perintah persetujuan bertarikh 1 Februari di mahkamah tinggi London, kata setiausaha politiknya, Syahir Sulaiman, dalam satu kenyataan semalam. – 3 Februari, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Susah juga Hadi nak jawab ni
    http://kuseman.com

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Ku Seman Ku Hussain · Ulasan