Kerajaan salur bantuan persekolahan RM100


Pemberian bantuan ini adalah bagi meringankan beban perbelanjaan yang perlu ditanggung oleh ibu bapa atau penjaga bagi menghadapi musim persekolan yang bermula bulan depan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Disember, 2018.

BANTUAN awal persekolahan RM100 akan diberikan kepada setiap murid Tahun 1 hingga Tingkatan 5 dari keluarga yang berpendapatan bawah RM3,000, kata Lim Guan Eng.

Menteri Kewangan itu berkata  pemberian bantuan ini adalah bagi meringankan beban perbelanjaan pada awal tahun yang perlu ditanggung oleh ibu bapa atau penjaga.

“Kementerian Kewangan menyediakan peruntukan khas sebanyak RM328 juta bagi membantu golongan ibu bapa meringangkan beban kos sara hidup.

“Wang itu akan akan disalurkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia untuk diagih ke sekolah-sekolah mulai Januari 2019,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Kerajaan komited untuk menyediakan peluang pendidikan yang berkualiti untuk semua pelajar tanpa mengira latar belakang termasuklah dari segi barang keperluan dan kelengkapan persekolahan.”

Bantuan ini merupakan usaha terbaharu Putrajaya untuk membantu meringankan beban rakyat susulan kos sara hidup yang tinggi.

Dua hari lalu, Lim mengumumkan peruntukan khas sebanyak RM77 juta untuk peneroka Felda bagi membantu mereka menyelesaikan bayaran tertunggak bagi tahun semasa.

Semalam, beliau mengumumkan peruntukan sebanyak  RM164,783,400 bagi membantu 300,000 penoreh getah yang kehilangan mata pencarian akibat musim hujan.

Setiap penoreh menerima bantuan sebanyak RM600. – 22 Disember, 2018.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen