PEKEBUN kecil getah Risda bakal menerima RM600 seorang melalui pakej bantuan untuk menampung pendapatan semasa musim tengkujuh.
Pekebun itu akan menerima RM300 untuk tahun ini dan selebihnya untuk tahun hadapan, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
“Ini akan memanfaatkan seramai 274,639 pekebun kecil getah yang berdaftar dengan Risda di seluruh negara,” kata Lim yang menambah bantuan itu melibatkan pruntukan lebih RM164.7 juta.
Seramai 255,997 orang daripada merupakan pemilik yang mengusahakan kebun sendiri dan selebihnya dan pengusaha kebun bukan milik sendiri berkeluasan tidak lebih 2.5 hektar, kata Lim.
Perkara itu diputuskan Kabinet atas cadangan kementeriannya memandangkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad prihatin dengan masalah pekebun itu, katanya.
Tambah Lim bantuan itu akan disalurkan kementeriannya kepada kementerian hal ehwal ekonomi, sama seperti bantuan untuk peneroka Felda yang diumumkannya semalam.
Pendapatan golongan pengusaha kebun getah itu terjejas dalam musim tengkujuh kerana tanaman itu tidak dapat ditoreh untuk mengeluarkan susu getah semasa musim hujan.
Tambahan pula, harga komoditi itu jatuh merudum ke paras terendah sehingga ke sekitar RM2 sekilogram.
Tinjauan The Malaysian Insight di salah satu daerah pengeluar getah terbesar, Baling pada bulan lalu mendapati golongan penoreh hanya mampu meraih pendapatan sekitar RM20 sahaja sehari dari pekerjaan itu.
Ia diumumkan susulan arahan Dr Mahathir pada awal bulan ini agar Lim menjalankan usaha segera untuk membantu golongan miskin dan daif menangani tekanan dari kenaikan kos sara hidup.
Dr Mahathir mengarahkan demikian sehari selepas perhimpunan besar-besaran oleh komuniti Melayu untuk membantah ICERD di Dataran Merdeka.
Penganalisis melihat kegelisahan masyarakat itu ke atas isu ekonomi dieksploitasi parti pembangkang Melayu-Islam PAS dan Umno.
Perhimpunan anjuran Gerakan Pembela Ummah dengan kerjasama pembangkang itu menyaksikan lebih 50,000 peserta berhimpun secara aman. – 21 Disember, 2018.
Komen