AHLI Parlimen tunggal Umno di Sabah Bung Moktar Radin dilantik mengetuai parti itu hari ini susulan tindakan wakil rakyat dan pemimpin kanannya yang bertindak keluar parti.
Setiausaha Agung Umno Annuar Musa mengumumkan pelantikan itu berkuatkuasa serta merta.
“Sabah akan dipimpin oleh Bung Moktar sebagai pengerusi badan perhubungan Umno Sabah, Ketua Umno Bahagian Sepanggar Yakub Khan sebagai timbalan pengerusi badan perhubungan Umno Sabah.
“Sementara itu Jefri Ariffin akan memegang jawatan setiausaha perhubungan Umno Sabah dan Raime Unggi sebagai ketua penerangan,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat Umno hari ini.
Seramai 21 ketua bahagian, 11 orang Adun dan empat ahli Parlimen Umno diketuai ketua perhubungannya Hajiji Mohd Noor mengumumkan keluar daripada parti itu.
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang turut hadir dalam sidang media tersebut memaklumkan dua naib presiden Umno, Ismail Sabri dan Mahdzir Khalid akan ke Sabah esok untuk membantu menstruktur semula struktur parti di negeri itu. – 12 Disember, 2018
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Leng Kapri As Saribasi · Ulasan