TMJ anggap arahan Kabinet isu Pulau Kukup satu jenaka


Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim tampil di Twitter dengan menyifatkan kenyataan Dr Xavier Jayakumer berhubung isu Pulau Kukup itu sebagai satu jenaka. – Gambar Facebook, 9 Disember, 2018.

ISU penukaran status Pulau Kukup menjadi tanah kesultanan terus menjadi perhatian apabila Tunku Mahkota Johor tampil memperolok-olokkan satu keputusan Kabinet berhubung status pulau itu.

Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim tampil di Twitter dengan menyifatkan kenyataan Dr Xavier Jayakumer berhubung isu Pulau Kukup itu sebagai satu jenaka.

Beliau menganggap demikian kerana menurutnya kerajaan persekutuan tidak berkuasa untuk campur tangan dalam isu status tanah pulau berkenaan.

Beliau merujuk satu kenyataan menteri air, tanah dan sumber asli itu berhubung keputusan Kabinet supaya kekal sebagai taman negara dan mempersoal sekiranya menteri tersebut faham bidang kuasanya.

“Pernah dengar mengenai enakmen negeri? Mana ada surat atau menteri boleh campur tangan dengan Perlembagaan Negeri Johor.

“Tanah, agama dan air adalah kuasa negeri. Surat ini adalah satu jenaka. Terima kasih,” katanya dalam satu coretan di Twitter, mengulas kenyataan Xavier.

Beliau juga mempersoalkan hasrat menteri tersebut mengeluarkan kenyataan berkenaan kerana menurutnya bapa beliau sudah menandatangani surat yang menjamin status Pulau Kukup sebagai taman negara.

“Saya tidak faham motif menteri mengeluarkan kenyataan ini kerana sudah ada satu surat Kerajaan Negeri Johor ditandatangani Kebawah Duli Tuanku bahawa penggunaan dan perlindungan Pulau Kukup kekal sebagai taman negara,” katanya.

Xavier dalam kenyataannya semalam menyebut, keputusan agar Pulau Kukup kekal sebagai taman negara dicapai dalam mesyuarat Kabinet pada Jumaat.

Menurutnya, Kabinet berpandangan bahawa pertukaran status kawasan itu akan memberi kesan ke atas pengiktirafan sebagai tapak Ramsar dan juga usaha mengiktiraf Mersing sebagai tapak geopark.

“Pertukaran status kawasan ini sudah tentu boleh memberi kesan kepada pengiktirafannya sebagai kawasan berpekepntingan antarabangsa yang boleh diterima serta menjejaskan reputasi negara dalam memulihara biodiversiti,” kenyataan itu dipetik.

Xavier turut mengaitkan kenyataan itu dengan keputusan mesyuarat DUN Johor semalam agar Sidang DUN Johor yang meluluskan usul supaya exco menghaji semula status taman negara Pulau Kukup.

DUN Johor meluluskan usul itu apabila tersebar berita bahawa keseluruhan kawasan itu dipindah status sebagai tanah kesultanan.

Ia dibuat melalui warta bertarikh 24 September mengikut Subseksyen 3(3) Enakmen Perbadanan Taman Negara (Johor) 1989.

Ia menyebabkan Menteri Besar Osman Sapian menerima pelbagai kritikan kerana didakwa membenarkan pulau itu ditukar status menjadi tanah kesultanan.

Pada waktu sama, Tunku Mahkota Johor menyelar pihak yang didakwa berusaha untuk menggulingkan Osman sebagai menteri besar.

Ia susulan kenyataan anggota mahlis tertinggi Bersatu, A Kadir Jasin bahawa kerajaan Pakatan Harapan Johor tiada beza dengan kerajaan terdahulu jika meluluskan penukaran status tanah pulau itu. – 9 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Assalammualaikum
    YANG MULIA TMJ





    KuDoakan Semoga RAHMAT ALLAH SWT
    dan KASIH SAYANG ALLAH SWT Senantiasa
    Bersinar Selalu Ke Atas TUANKU SEKELUARGA .

    ikhlas dari saya :-

    https://www.facebook.com/Galeri-Brother-KAY-Kajang-429323143888647/?ref=hl

    Dimuat naik 5 tahun yang lalu oleh ABK KUALA LUMPUR · Ulasan

  • Assalammualaikum
    YANG MULIA TMJ

    KuDoakan Semoga RAHMAT ALLAH SWT
    dan KASIH SAYANG ALLAH SWT Senantiasa
    Bersinar Selalu Ke Atas TUANKU SEKELUARGA .

    ikhlas dari saya :-

    Facebook : GALERI BROTHER KAY KAJANG.

    https://www.facebook.com/Galeri-Brother-KAY-Kajang-429323143888647/?ref=hl

    Dimuat naik 5 tahun yang lalu oleh ABK KUALA LUMPUR · Ulasan