UMAT Islam wajib menyertai himpunan membantah ratifikasi Konvesnyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) kerana ia salah satu fardu ain, dakwa Presiden PAS Abdul Hadi Awang.
Dakwanya, perhimpunan itu wajib disertai kerana ia mampu menyelamatkan negara kerana ICERD serupa dengan Perjanjian Pangkor pada 1874 yang menyebabkan negara dijajah.
“Dan sebab itu menjadi kewajipan kepada seluruh umat Islam secara fardu ain untuk keluar beramai ramai dalam himpunan ini menyatakan kewajipan mencegah kemungkaran yang wajib dicegah sebelum berlakunya perkara yang lebih buruk kepada negara kita,” katanya.
ICERD juga satu agenda Zionis untuk menjadikan manusia tidak berakhlak dan beragama, katanya lagi.
Oleh itu, ICERD merupakan ancaman kepada keharmonian di negara yang mempunyai rakyat berbilang kaum dan agama seperti Malaysia, dakwa Hadi.
“Berdasarkan pengamatan saya perjanjian ini diilhamkan oleh Freemason dan Zionis yang menguasai agensi agensi di bawah Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) dengan tujuan untuk menundukkan segala bangsa dalam dunia ini supaya tidak beragama dan tidak berakhlak.
“Menjadi agenda mereka dengan cara yang halus, apa lagi kepada kita perjanjian ini akan menjejaskan hubungan yang baik di antara bumiputera dan rakyat bukan bumiputera yang telah dijalin dengan baik dalam masyarakat majmuk di negara kita,” katanya.
Dalam rakaman video disiarkan di Facebook itu, ahli Parlimen Marang itu berkata, penganut agama lain juga turut sama bangkit menentang ICERD.
“Dan pada masa sama juga saya menyeru penganut penganut agama lain sama sama juga membantah ICERD ini kerana perjanjian ini sebenarnya bercanggah dengan semua agama dan hubungan dalam dunia yang telah dijalin Allah dengan cara yang baik,” kata Hadi.
Beliau seterusnya memberi jaminan perhimpunan di Dataran Merdeka akan berlangsung dalam suasana aman dan menolak unsur provokasi yang mampu mencetuskan ketegangan.
“Insya Allah himpunan ini akan diadakan dengan aman. Kita akan menentang sebarang provokasi yang cuba mengalih keamanan yang kita nak wujudkan dalam himpunan ini dan kita akan membantu polis menghalang segala provokasi yang boleh menimbulkan kekecohan,” katanya.
PAS dan Umno merancang untuk menggembleng 500,000 orang ke perhimpunan di Kuala Lumpur esok yang akan turut menampilkan bekas perdana menteri Najib Razak. – 7 Disember, 2018.
Komen