Pengasas KK Mart, isteri bebas tuduhan isu stoking kalimah Allah


Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di cawangan KK Mart mereka di Bandar Sunway, pada 6.30 pagi, 13 Mac.– Gambar Facebook, 15 Julai, 2024.

MAHKAMAH Sesyen Shah Alam hari ini membatalkan pertuduhan dengan sengaja melukakan perasaan orang Islam terhadap pengasas dan pengerusi eksekutif Kumpulan KK Mart Dr Chai Kee Kan dan isterinya Loh Siew Mui.

Tiga pengarah syarikat pembekal stokin, Xin Jian Chang Sdn Bhd, turut diberikan perintah dilepaskan dan dibebaskan selepas pihak pendakwaan memutuskan untuk tidak meneruskan pertuduhan ke atas lima individu itu.

Syarikat pasangan itu, KK Supermart dan Superstore Sdn Bhd, sebelum ini didenda RM60,000 atas kesalahan itu. Xin Jian Chang turut didenda RM60,000.

Pada akhir April, peguam Rajpal Singh, yang mewakili Chai, 57, dan Loh, 53, memberitahu mahkamah bahawa mereka telah mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara berhubung pertuduhan terhadap mereka.

Pada 26 Mac, Chai dan Loh, sebagai pengarah syarikat, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu berhubung penjualan stokin tertera perkataan “Allah”, seperti yang dilihat oleh seorang pelanggan berusia 32 tahun. .

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di cawangan KK Mart mereka di Bandar Sunway, pada 6.30 pagi, 13 Mac.

Pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Turut didakwa ialah tiga pengarah Xin Jian Chang - Soh Chin Huat, isterinya, Goh Li Huay, dan anak perempuan mereka, Hui San.

Soh, 61, Goh, 62, dan Hui San, 36, didakwa bersubahat dengan sengaja melukakan perasaan orang Islam dalam isu stokin tertera kalimah “Allah”, di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 298 undang-undang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – 15 Julai, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen