Keputusan Speaker tak ikut semangat Akta Akti Lompat Parti, kata kumpulan


Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mengkritik keputusan Speaker Dewan Rakyat untuk membenarkan enam bekas ahli Parlimen Bersatu mengekalkan kerusi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Julai, 2024.

KUMPULAN hak asasi manusia Tindak Malaysia memberi amaran keputusan Speaker Dewan Rakyat untuk membenarkan enam bekas ahli Parlimen Bersatu mengekalkan kerusi mereka mungkin membuka ruang untuk lebih banyak pelanggaran undang-undang anti-lompat parti dan pemberontakan yang mungkin menghantui kerajaan semasa.

Pengarah kumpulan itu Danesh Prakash Chacko berkata Speaker Johari Abdul sepatutnya mengambil contoh keputusan yang dibuat dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan untuk mengosongkan kerusi Nenggiri, kerusi yang dipegang oleh ahli Parlimen Gua Musang sekarang, salah seorang daripada enam bekas ahli Bersatu tersebut.

“Tindak Malaysia amat bimbang dengan keputusan yang mengabaikan semangat undang-undang anti-lompat parti.

“Setelah memperjuangkan undang-undang ini selama lebih 12 tahun, Tindak Malaysia meluahkan kebimbangan mendalam mengenai kesan jangka panjang keputusan tersebut.

“Tindak Malaysia dan NGO lain bekerjasama dengan institusi kerajaan pada 2022 untuk melaksanakan undang-undang anti-lompat parti dan Tindak Malaysia mengharapkan undang-undang ini dihormati,” kata Chacko dalam satu kenyataan.

Semalam Johari memaklumkan kepada Ketua whip Bersatu Ronald Kiandee dalam surat bahawa tindakan Bersatu untuk menamatkan keahlian lima ahli Parlimen (tidak termasuk Labuan) melanggar Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat, Akta Hak dan Kuasa Parlimen 1952 dan Perlembagaan Persekutuan.

Bagi Ahli Parlimen Suhaili, kerusi Labuan tidak dikosongkan kerana terdapat kes mahkamah yang sedang berjalan oleh ahli Parlimen itu terhadap Bersatu.

Keputusan itu membenarkan Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), dan Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan) untuk mengekalkan kerusi mereka walaupun Bersatu berpendapat mereka kehilangan keahlian parti secara automatik kerana menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mengkritik keputusan itu dan berkata Johari bertindak bertentangan dengan peruntukan undang-undang dan di luar bidang kuasanya.

Beliau berkata Bersatu akan merujuk kepada peguam mereka dan mengambil tindakan undang-undang untuk mencabar keputusan speaker jika perlu.

Pada 19 Jun Speaker DUN Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan kerusi Nenggiri kosong selepas notis bertulis diterima di bawah Fasal (3) Perkara 31A Perlembagaan Negeri Kelantan mengenai status keahlian wakil penyandang, Azizi.

Azizi memfailkan injunksi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk menghentikan pilihan raya kecil Nenggiri tetapi permohonannya ditolak.

Susulan itu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan 17 Ogos sebagai hari pengundian bagi pilihan raya kecil Nenggiri.

Chacko berkata Johari sepatutnya menyampaikan keputusan penting sebegini kepada umum dan bukan hanya kepada parti dan/atau wakil rakyat yang terjejas oleh perubahan politik tersebut.

Beliau menambah undang-undang anti-lompat parti digubal untuk memberikan kestabilan yang diperlukan kepada kerajaan dan melindungi peranan pembangkang di Parlimen.

“Kami menyeru semua pihak dan speaker Dewan Rakyat serta DUN untuk menghormati semangat undang-undang anti-lompat parti demi kelangsungan demokrasi kita yang rapuh,” katanya.

Beliau berkata speaker DUN Selangor akan menggunakan kebijaksanaannya dalam mentafsir undang-undang anti-lompat parti berkenaan status wakil rakyat Selat Kelang yang keahlian Bersatunya juga ditamatkan secara automatik kerana menyokong kerajaan perpaduan. – 10 Julai, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen