Akta perkongsian data akan digubal tidak lama lagi


Akta perkongsian data (Omnibus) masih pada peringkat draf untuk menggubal prinsip utama rang undang-undang itu, kata Kementerian Digital. – Gambar fail EPA, 3 Julai, 2024.

AKTA perkongsian data (Omnibus) masih pada peringkat draf untuk menggubal prinsip utama rang undang-undang (RUU) itu, kata Kementerian Digital.

Kementerian itu berkata RUU Omnibus bertujuan untuk menyelia perkongsian data antara agensi dalam sektor awam.

“Kementerian mengambil maklum akan keperluan perlindungan data peribadi daripada penyalahgunaan oleh mana-mana pihak semasa perkongsian data dijalankan antara agensi.

“Walaupun agensi kerajaan dikecualikan daripada pemakaian Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709) melalui rujukan kepada Seksyen 3 akta yang sama, pada masa ini pegawai awam adalah tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88) dan juga Peraturan-Peraturan Pegawai Awam sekiranya pegawai awam disabitkan dengan isu ketirisan semasa mengendalikan data peribadi,” katanya di Dewan Rakyat.

Kementerian itu menjawab soalan William Leong Jee Keen (PH-Selayang) yang merujuk Seksyen 3 Akta Perlindungan Peribadi, dan ingin mengetahui adakah kerajaan bercadang memasukkan peruntukan itu daripada penyalahgunaan pihak kerajaan di dalam Akta Omnibus yang akan diperkenalkan kelak.

Kementerian berkata kerajaan akan mengkaji kesesuaian peruntukan berhubung perlindungan data peribadi dalam draf Akta Omnibus.

Katanya, keperluan itu bagi mengimbangi kepentingan perkongsian data dan hak seseorang individu terhadap data peribadi mereka. – 3 Julai, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen