Rasuah, kurang penguatkuasaan punca nahas bas, kata pakar


Alfian Z.M. Tahir

Dua pelancong warganegara China maut dalam kemalangan bas di Genting Highland baru-baru ini, sementara beberapa yang lain cedera. – Gambar Facebook, 3 Julai, 2024.

KEGAGALAN Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk menambah baik sistem penguatkuasaannya yang sudah lapuk dan rasuah adalah punca syarikat bas dan pemandunya semakin banyak yang tidak patuh peraturan, kata pakar.

Pakar dalam agensi keselamatan jalan raya kerajaan itu yang enggan dinamakan, memberitahu The Malaysian Insight JPJ sepatutnya perlu ada langkah proaktif untuk memeriksa bas bagi mengelak kemalangan jalan raya seperti yang berlaku di Genting Highland baru-baru ini.

Dua pelancong warganegara China maut dalam kemalangan itu sementara beberapa yang lain cedera.

Pemandu bas terbabit ditahan selepas mendapati dia tidak mempunyai lesen memandu dan memiliki 27 saman trafik.

Syarikat bas itu juga didapati beroperasi tanpa permit selama empat bulan, menggunakan 15 permit untuk bas persiaran dan 18 untuk bas kilang.

Pakar itu berkata JPJ perlu bertanggungjawab kerana tidak menaik taraf sistem lama, dan rasuah adalah punca penambahbaikan di JPJ terlalu perlahan.

“JPJ bertanggungjawab untuk memantau syarikat bas dan pemandu tetapi mereka tidak melakukan peranan mereka. Cadangan dan idea yang diberikan kepada mereka tidak diendahkan.

“Sebelum ini, sistem penarafan bintang digunakan di mana ia diberikan kepada syarikat bas dan pemandu yang baik, memudahkan pelanggan untuk memilih.

“Tetapi penarafan bintang itu hanya digunakan dalam tempoh yang singkat kemudian dihentikan,” katanya.

Beliau turut menyalahkan Kementerian Pengangkutan yang lambat bertindak atas cadangan diberikan.

Katanya, banyak kertas cadangan dan aduan dihantar ke kementerian, termasuk berkenaan JPJ yang tidak cekap, tetapi tiada tindakan diambil.

“Sistemnya sendiri rasuah. Ia satu kegagalan. Saya tidak terkejut kalau berlaku rasuah di antara pegawai JPJ dan syarikat bas terbabit.

“Tidak mungkin sistem JPJ tidak boleh mengesan pemandu tanpa lesen dengan 27 saman trafik itu.

“Nampak sangat pemantauan atau pemeriksaan JPJ sangat rendah.

“JPJ perlu lebih proaktif sebelum berlaku lagi tragedi.”

Pakar itu berkata Malaysia bakal menyaksikan lebih banyak kemalangan membabitkan bas persiaran jika tiada sistem baharu dilaksanakan.

Susulan kemalangan di Genting Highland pada 29 Jun, JPJ mengumumkan operasi pemeriksaan besar-besaran terhadap syarikat bas persiaran. Ia adalah operasi bersama dengan polis, Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan Kementerian Pelancongan. – 3 Julai, 2024.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen