UiTM kekal untuk Bumiputera sahaja, kata Zambry


Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abd Kadir berkata UiTM mesti kekal sebagai institusi tinggi Bumiputera sahaja. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Jun, 2024.

KERAJAAN tidak bercadang untuk membuka Universiti Teknologi Mara (UiTM) kepada pelajar bukan Bumiputera kerana status quo diperlukan bagi memastikan jurang sosioekonomi antara kaum dapat dirapatkan.

Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abd Kadir ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat hari ini berkata UiTM mesti kekal sebagai institusi tinggi Bumiputera sahaja.

“Laporan Kongres Ekonomi Bumiputera pada 2024 oleh Kementerian Ekonomi menunjukkan masih wujud jurang ekonomi membabitkan Bumiputera dari segi purata pendapatan bulanan, pegangan ekuiti korporat, kadar kemiskinan, pengeluaran tenaga kerja mahir dan kelayakan profesional.

“Malah kadar kemiskinan mutlak Bumiputera masih memerlukan usaha berterusan untuk melihat peningkatan.

“Oleh itu mengekalkan dasar UiTM untuk orang Melayu, Orang Asli dan rakyat Sabah dan Sarawak masih diperlukan dalam usaha merealisasikan hasrat kerajaan dalam merapatkan jurang antara kaum,” Zambry dipetik sebagai berkata dalam Malaysiakini.

Beliau menjawab soalan Ramkarpal Singh (Pakatan Harapan-Bukit Gelugor) jika kerajaan akan meminda Akta UiTM untuk membuka kemasukan kepada bukan Bumiputera.

Gesaan untuk membuka UiTM kepada semua kaum bermula dengan isu mengenai program pascasiswazah pembedahan kardiotoraks untuk doktor tempatan yang ingin mengikuti pengkhususan.

Ketika ini hanya UiTM sahaja yang menawarkan program tersebut dengan kerjasama Institut Jantung Negara membuatkan doktor bukan Bumiputera berdepan masalah.

Bagaimanapun Zambry hari ini berkata Universiti Malaya akan mula menawarkan program itu pada Oktober ini diikuti universiti lain.

“Kementerian cuba sedaya upaya untuk mencari pendekatan terbaik untuk menyelesaikan isu ini. Perbincangan juga diadakan bersama UM dan Pusat Perubatan UM untuk program yang akan ditawarkan di universiti.

“Insya-Allah kami menjangkakan UM akan menawarkan program ini selewat-lewatnya Oktober supaya mereka yang ingin mengikuti program ini boleh melakukannya di sana. (Dan) seterusnya, ia akan diikuti oleh universiti lain,” katanya. – 26 Jun, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen