Pegawai kanan Prolintas ditahan SPRM berhubung siasatan rasuah


SYARIKAT konsesi lebuh raya Prolintas Group malam tadi mengesahkan tiga pengurus kanan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan rasuah.

Dalam satu kenyataan, syarikat yang mengendalikan enam lebuh raya bertol itu berkata ia akan bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa untuk membantu siasatan.

“Prolintas sedar bahawa kakitangan kami telah direman oleh SPRM bagi membantu siasatan berterusan berkaitan pembinaan (kontrak).

“Prolintas terus komited untuk mengekalkan tahap integriti dan tadbir urus korporat tertinggi.”

Semalam, portal Free Malaysia Today melaporkan SPRM telah menahan seorang ketua pegawai eksekutif dan dua pegawai tertinggi syarikat konsesi lebuh raya Lembah Klang berhubung rasuah membabitkan dua projek lebuh raya.

Agensi pencegah rasuah turut menahan lima individu kerana didakwa menawarkan rasuah untuk kontrak tersebut.

Sumber portal itu berkata, ketiga-tiga pemegang konsesi lebuh raya itu dipercayai meminta dan menerima rasuah daripada lima individu itu bagi membolehkan mereka mendapat kontrak pembinaan bernilai RM1 bilion, yang sebelum ini dijalankan oleh syarikat lain.

Mereka didakwa meminta dan menerima lebih banyak rasuah untuk kontrak RM670 juta membabitkan pembinaan bahagian projek lebuh raya lain di Lembah Klang.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009. – 26 Jun, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen