Pelaksanaan kod QR di pintu masuk Johor-Singapura ditangguh


Pintu masuk Johor Bahru-Singapura berhampiran Bangunan Sultan Iskandar di Johor Bahru.– Gambar Wikimedia, 3 Jun, 2024.

PELAKSANAAN kod QR di pintu masuk Johor Bahru-Singapura berhampiran Bangunan Sultan Iskandar (BSI), telah ditangguhkan selama dua minggu menurut laporan New Straits Times.

Penggunaan kod QR di pintu masuk sepatutnya bermula Ahad lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata kod QR di BSI kini dalam proses melengkapkan permohonan oleh vendor menggunakan MyRentas.

Mohd Fazli berkata, pada masa ini, penggunaan kod QR bagi pemeriksaan Jabatan Imigresen hanya digunakan di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) untuk Link Kedua Malaysia-Singapura.

“Penggunaan kod QR bermula di KSAB pada 1 Jun, di mana warganegara Malaysia yang menggunakan bas dan motosikal melakukan pendaftaran MyTrip yang terdapat dalam aplikasi MySejahtera.

“Alhamdulillah, penggunaan kod QR di KSAB berjalan lancar sepanjang tempoh percubaan. Setakat ini tidak ada sebarang isu teknikal yang ketara.

“Bagaimanapun, di BSI membabitkan laluan Tambak Johor, pihak vendor masih memuktamadkan permohonan MyRentas dan dijangka boleh digunakan dalam tempoh dua minggu lagi,” katanya memetik laporan itu.

Mohamad Fazli berharap pengembara antara kedua-dua negara (Malaysia dan Singapura) boleh mencuba dan memuat naik aplikasi untuk penggunaan kod QR. – 3 Jun, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen