Syed Husin Ali: Perginya seorang negarawan negara


Fakhrurrazi Rashid

PEMERGIAN Dr Syed Husin Ali ke dunia abadi adalah suatu kehilangan besar buat negara. Nama Syed Husin Ali bukan asing lagi dalam kalangan rakyat, khususnya aktivis mahasiswa dan ahli akademik. Buat diri saya, hati ini begitu berat dan masih tidak percaya Syed Husin Ali sudah pergi selama-lamanya.

Pada tahun 2016, saya dibawa guru saya, Dr Andrew Aeria bertemu dengan Dr Syed Husin Ali di sebuah kedai makan di Petaling Jaya. Sosoknya kecil-kecil manis, pakaiannya kemas segak dengan capalnya yang sentiasa menemaninya di mana-mana pentas syarahan dan forum.

Itu bukanlah perjumpaan kali pertama. Sebelum ini, saya kerap hadir ke forum dan syarahannya di ruang awam. Namun, rasa segan dan hormat kepada tokoh, membuatkan hajat untuk berdiskusi dengan Dr Syed dengan lebih dekat sentiasa tertangguh.  

Perjumpaan itu bukanlah biasa-biasa. Dr Andrew dan saya perlu menyiapkan kertas dasar dalam aspek pendidikan, sosial, dan belia bagi Institut Rakyat, sebuah badan pemikir bagi Parti Keadilan Rakyat (Keadilan). Dr Syed Husin Ali tekun memberi perincian pandangannya dalam pendidikan.

Dia realistik memberikan idea. Kalau dia tidak tahu, dia kata tidak tahu dan terbuka mendengar penjelasan orang yang lebih tahu. Tidak seperti ahli akademik dan ahli politik suam-suam kuku yang gemar membicarakan idea sampai ke langit untuk tunjuk hebat.  

Dia orang paling mudah dihubungi dan sanggup memberikan komitmen dalam soal pembentuk dasar parti demi memastikan Keadilan sentiasa di hadapan dalam soal keilmuan, kemajuan, dan sistem pentadbiran yang berintegriti. Kami bertiga bekerja rapat membentuk dasar dan idea parti untuk  pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Nasihat yang mengubah segalanya

Menjelang PRU14, saya berdepan dilema. Jentera pilihan raya Keadilan memutuskan Nurul Izzah perlu bertanding di kerusi Permatang Pauh dan presiden akan ke Pandan. Keputusan ini sungguh berat buat saya.

Sebagai pembantu Parlimen kepada Nurul Izzah Anwar ketika itu, saya begitu gemuruh kerana perlu membantu kubu kuat Keadilan dengan pengalaman saya yang masih kecil. Dengan pertembungan tiga penjuru, saya bimbang jika kerusi Permatang Pauh akan kalah ke tangan pembangkang, lagi-lagi PAS. Saya tidak boleh bayangkan jika Permatang Pauh kalah jika saya menjalankan tugas yang kurang memuaskan.

Saya cuba hubungi beberapa rakan dan pimpinan parti bagi mendapatkan pandangan. Dalam saat cemas itu, saya mendapat panggilan telefon daripada Dr Syed Husin. Dia tahu berita tentang rayuan saya kepada parti.

“Awak kena berani ambil keputusan besar daripada parti (Keadilan). Biar awak faham betapa susahnya nak pertahan Permatang Pauh masa Kak Wan menang tahun 2004,” kata Dr Syed Husin Ali dengan tegas.

“Terus angkat keputusan parti. Tiada siapa yang lebih besar dari Keadilan. Malaysia dah nak capai perubahan. Permatang Pauh perlukan pemimpin berwibawa macam Nurul Izzah Anwar. Jangan takut, ini semua perancangan Allah SWT,” tambah dia lagi.

Nasihat Dr Syed Husin Ali bukan sekadar mengubah saya. Keadilan menang dengan majoriti selesa di Permatang Pauh. Malaysia menempa sejarahnya apabila pertukaran kerajaan persekutuan berlaku secara aman. Tanah air sedang berada di fasa baharu.  

Dekat dengan orang muda

Bukan mudah untuk orang muda ketika itu mempunyai peluang bekerjasama dengan pemimpin parti dan ahli akademik berwibawa seperti Dr Syed Husin Ali. Malah, dia selalu mendekati anak muda pada setiap masa.

Pernah sekali, saya cuba mengatur pertemuan antara Dr Syed Husin Ali dan beberapa ahli Angkatan Muda Keadilan (AMK) Lembah Pantai dan rakan-rakan lain membincangkan tentang bukunya “Sejarah dan Dasar Perjuangan Parti”.

Buku ini hadir ketika Keadilan cuba mengumpul kekuatan akar umbi semula. Ia berikutan pergolakan politik perpecahan Pakatan Rakyat (PR) pada tahun 2015. Episod ini telah menjejaskan dinamik Keadilan sehingga ada pemimpin sudah lari dari prinsip perjuangan sebenar.  

Apa yang mengecewakan saya adalah pertemuan tersebut agak hambar. Hanya lapan orang berminat. Saya menghubungi Dr Syed Husin Ali bagi membatalkan perjumpaan. Tetapi, dia tidak kisah dan minta diteruskan. Dia sanggup ke kedai mamak untuk adakan perbincangan. Dalam ucapan pembukaannya, dia bagitahu “Lapan orang anak muda dah cukup hidupkan semangat Reformasi”.

Pada awalnya, kami beranggapan Dr Syed Husin Ali akan bercakap seperti seorang profesor biasa. Jangkaan itu meleset. Dia rupanya guna bahasa biasa yang mudah difahami walaupun orang itu hanyalah biasa-biasa.

Seorang negarawan

Siapa sangka, dari membaca buku-bukunya, saya berpeluang untuk melihat sendiri kecerdasan Dr Syed Husin Ali dalam membentuk idealismenya di dalam politik kepartian. Sebuah pengalaman yang cukup berharga melihat kanta politik daripada seorang negarawan yang jujur seperti Dr Syed Husin Ali.  

Pejuang negara seperti Dr Syed Husin Ali tidak harus dipandang mudah. Dia adalah ahli politik yang setia dengan prinsip perjuangan walaupun partinya berada di ambang kekalahan. Malah, ketika Keadilan menang, Dr Syed Husin Ali masih membantu kerja-kerja parti dalam membentuk kepimpinan yang lebih dinamik walaupun sekadar di belakang tabir.

Saya berpandangan, amat wajar jika pemikiran dan khazanah ilmu yang dibentuk Dr Syed Husin Ali dijadikan sebuah institut atau badan pemikir dalam parti Keadilan itu sendiri.

Pengalaman ketokohannya sebagai ahli akademik dan ahli politik boleh menjadi asas kepada pemimpin muda Keadilan yang mahu menyertai politik atas dasar kejujuran, keadilan sosial, dan kesejahteraan rakyat. Sekurang-kurangnya, ia menjadi asas melahirkan dinamik politik berintegriti dan berilmu di dalam sebuah parti politik yang kian rencam.

Malah, tidak salah untuk saya katakan Dr Syed Husin Ali antara tokoh pemikir negara. Idealismenya perlu diangkat di ruang awam, universiti, mahupun dalam sektor pembuat dasar.  Perbahasan berkenaan idea-idea dan pandangan Dr Syed Husin Ali mampu membawa generasi baharu ke arah yang lebih progresif bagi membentuk Malaysia yang lebih baik. – 1 Julai, 2024.

* Fakhrurrazi Rashid, juga dikenali kawan-kawannya sebagai Bob, minat dengan parlimen yang tidak siapa kisah di Malaysia dan sentiasa mengikuti rapat isu politik semasa.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen